
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata suspek dituduh mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Seorang pengadu lelaki Melayu yang merupakan guru agama pusat tahfiz tersebut hadir bersama mangsa dan membuat laporan polis berkenaan kes liwat yang berlaku.
“9 orang pelajar pusat tahfiz itu dalam lingkungan umur 11 hingga 16 tahun telah memaklumkan kepada guru berkenaan mengenai suspek berumur 30 tahun yang juga merupakan pengetua pusat tahfiz telah mencabul dan meliwat mangsa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes sebegini diminta supaya tidak was-was dan bertindak melaporkan kepada polis agar tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Kerjasama orang ramai amatlah diperlukan dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan negara ini terus terjamin,” katanya.
Ketika dihubungi FMT, Zainuddin berkata setakat ini tiada perkembangan baru dan menunggu kes itu diputuskan di mahkamah.
Sebelum itu media melaporkan seorang guru agama, yang merupakan pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong, ditahan polis kerana dipercayai meliwat 9 pelajar pusat tahfiz berkenaan.
Zainuddin berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan sehari selepas polis menerima laporan kes berkenaan yang dibuat oleh seorang guru lelaki pusat tahfiz berkenaan pada 13 Sept.
Menurut sumber polis, kesemua 9 pelajar berkenaan sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk diambil keterangan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.
Pada masa ini, kesemua pelajar yang terlibat dibawa pulang oleh keluarga masing-masing.