Iran panggil duta negara Eropah berkait serangan pengganas

Iran panggil duta negara Eropah berkait serangan pengganas

Kementerian Luar Iran mempersoal langkah negara Eropah tidak menyenaraikan kumpulan terbabit sebagai organisasi pengganas.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei mendakwa serangan tersebut ada kaitannya dengan ‘sekutu’ AS di rantau itu.
LONDON:
Iran memanggil duta Belanda, Denmark dan Britian semalam berkaitan serangan pengganas yang menyasarkan satu perarakan tentera di bandar Ahvaz di selatan negara itu yang menyebabkan 25 orang terbunuh.

“Kita tidak boleh menerima bahawa kumpulan yang terlibat tidak disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh negara Eropah selagi mereka tidak melancarkan serangan pengganas di benua itu,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Bahram Qasemi seperti dilaporkan oleh Irna.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei mendakwa serangan tersebut ada kaitannya dengan “sekutu” Amerika Syarikat di rantau itu dan mengarahkan pihak keselamatan mengheret kumpulan terbabit ke muka pengadilan.

“Jenayah ini adalah penerusan rancangan negara di rantau ini yang merupakan boneka AS dengan matlamat menimbulkan kekacauan di negara tercinta ini,” kata Khameini dalam kenyataan yang disiarkan di lamanweb rasmi beliau.

Beliau tidak menamakan negara yang dimaksudkannya, tetapi sekutu AS di rantau itu termasuklah musuh utama Iran, iaitu Israel, negara Teluk dan Arab Saudi.

Dalam serangan di Ahvaz semalam, 4 penyerang bersenjata menyasarkan pegawai tentera yang menghadiri satu perarakan menyebabkan 8 anggota Pasukan Pengawal Revolusi maut di tempat kejadian, sementara lebih 20 yang lain cedera.

Pasukan keselamatan Iran membunuh 2 daripada penyerang tersebut dan menangkap 2 yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.