Fuziah kesal kenyataan mufti Sabah mahu turunkan had umur kahwin

Fuziah kesal kenyataan mufti Sabah mahu turunkan had umur kahwin

Selangor menjadi negeri pertama meluluskan pindaan undang-undang menaikkan had umur minimum perkahwinan orang Islam daripada 16 kepada 18 tahun.

Fuziah berkata kanak-kanak perempuan berumur 14 tahun belum bersedia dari segi fizikal untuk mengandung dan mengundang kepada lebih banyak keburukan.
PETALING JAYA:
Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh kesal dengan cadangan Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar yang dilaporkan mahu menurunkan had umur minimum perkahwinan kepada 14 tahun bagi perempuan dan 16 tahun bagi lelaki.

Beliau berkata kanak-kanak perempuan yang berumur 14 tahun belum bersedia dari segi fizikal untuk mengandung dan mengundang kepada lebih banyak keburukan.

“Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) 2011 ada menyebut perkahwinan bawah umur mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan

“Bagi kanak-kanak perempuan, secara biologikalnya rahim belum bersedia untuk mengandung pada umur 14 tahun dan kehamilan pada umur demikian lebih berisiko meningkatkan kadar keguguran dan kematian bayi,” katanya kepada FMT.

Semalam, akhbar Malay Mail yang memetik New Straits Times melaporkan Bungsu mahu had umur minimum perkahwinan diturunkan daripada 16 tahun bagi perempuan kepada 14 tahun dan 18 tahun bagi lelaki kepada 16 tahun mengikut undang-undang syariah.

Cadangan ini timbul ketika kerajaan persekutuan mahu menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun bagi lelaki dan perempuan, susulan kontroversi perkahwinan bawah umur mutakhir ini yang merentasi kaum dan anutan.

Fuziah juga berkata, dari surut psikologi kanak-kanak berumur 14 tahun juga belum sedia memikul tanggungjawab sebagai isteri.

Beliau berkata dari sudut pendidikan pula, apabila berkahwin awal maka mereka tidak boleh meneruskan persekolahan pada umur 15 dan 16 tahun.

“Kanak-kanak lelaki dan perempuan wajar berada di sekolah menimba ilmu demi membentuk masa depan kehidupan mereka.

“Had umur perkahwinan tidak sama sekali patut di kurangkan. Dalam hidup ini segalanya bukan tentang seks tetapi tentang kehidupan,” katanya.

Fuziah berkata jika had umur perkahwinan direndahkan kepada 14 tahun remaja juga terdedah kepada tingkah laku seks luar nikah pada umur yang muda.

Beliau berkata sekiranya itu berlaku institusi agama akan lebih dipersoalkan, terutama dari segi ketidakberkesanan program pendidikan dan dakwah mereka.

“Mengapa perkara tersebut berlaku? Kenapa tidak dicari penyelesaian lain tanpa perlu mengahwinkan kanak-kanak. Itu membunuh masa depan kanak-kanak tersebut, bukannya menyelesaikan masalah,” katanya.

Pada 2014, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menasihatkan pihak berkuasa negeri memperketatkan syarat perkahwinan bawah umur kerana ia tidak digalakkan Islam atau memberi manfaat kepada kanak-kanak.

Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa mengumumkan draf akta perkahwinan kanak-kanak akan siap akhir tahun ini bagi mengelak berlakunya lebih banyak kes perkahwinan bawah umur.

Selangor menjadi negeri pertama meluluskan pindaan menaikkan had umur minimum perkahwinan orang Islam daripada 16 kepada 18 tahun pada 5 September lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.