Alkohol: Majikan selalu dipandang serong, MEF beritahu Kulasegaran

Alkohol: Majikan selalu dipandang serong, MEF beritahu Kulasegaran

Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, insiden keracunan alkohol adalah disebabkan tingkah laku pekerja sendiri yang tidak mengikut peraturan.

Shamsuddin berkata, pemantauan secara lebih teliti oleh majikan sering disalahertikan sebagai diskirminasi terhadap pekerja asing. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengkritik Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran sambil menyatakan majikan sentiasa dipandang serong oleh kesatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan apabila isu seperti insiden keracunan alkohol membabitkan warga asing berlaku.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, insiden keracunan alkohol itu adalah disebabkan tingkah laku pekerja berkenaan yang kebanyakannya tidak mengikut peraturan.

“Minuman berkenaan kemungkinan besar diubah suai atau dibancuh semula supaya mendapat kesan yang lebih kepada mereka.

“Ini adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku,” katanya kepada FMT hari ini.

Semalam Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, majikan yang menggaji pekerja asing perlu memantau keadaan mereka berikutan insiden keracunan alkohol membabitkan puluhan orang maut, termasuk warga asing.

Kulasegaran berkata, minuman keras yang berharga murah sering menjadi pilihan warga asing selain ada di antara mereka yang boleh menghasilkan sendiri minuman beralkohol.

Sejak Isnin lalu, lebih 20 orang yang terdiri daripada warga asing dan tempatan meninggal dunia dan berpuluh lagi dirawat di hospital di sekitar Lembah Klang dan Perak akibat keracunan alkohol.

Mengulas lanjut, Shamsuddin menegaskan majikan sentiasa memantau apa yang dilakukan oleh pekerja mereka.

“Tetapi bila kita memantau secara lebih teliti ia sering disalahertikan sebagai diskirminasi terhadap pekerja asing.

“Dalam hal ini pihak berkuasa juga bertanggungjawab membuat pememantauan, terutama bagi memastikan minuman keras yang tidak sepatutnya itu tidak dibawa masuk ke dalam negara.

“Selain itu premis menjual minuman keras juga harus dipantau dan memastikan produk yang dijual mengikut peraturan sewajarnya,” katanya.

Shamsuddin berkata, sekiranya perkara berkenaan tidak dilakukan dengan teliti, adalah tidak wajar tanggungjawab itu diserahkan kepada majikan.

“Majikan hanya boleh melakukan pemantauan teliti terhadap pekerja yang berada di premis syarikat dan juga di tempat tinggal mereka.

“Ada keadaan aktiviti minum arak itu dilakukan di tempat lain, bukan di premis pekerja atau di tempat tinggal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.