
Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Ismail Yusop berkata pihak JPP akan bermesyuarat semula bagi menentukan tarikh baru pengundian di 3 cabang terbabit.
“Pemilihan PKR di 3 cabang itu ditangguhkan bukan disebabkan masalah sistem e-undi dan sistem kami dalam keadaan baik serta berjalan lancar. Namun, masalah itu timbul disebabkan kelemahan para petugas yang menjaga pusat mengundi.
“Memang kami telah beri latihan dan penerangan serta simulasi sebelum ini kepada petugas berkenaan, namun apabila tiba hari pengundian hari ini beberapa kelemahan daripada mereka timbul mungkin sebab gugup atau tidak memberi perhatian semasa latihan diadakan,” katanya kepada pemberita, di sini.
Pemilihan PKR 2018 bermula di Kedah dan Pulau Pinang hari ini melibatkan 105,056 anggota layak mengundi bagi memilih barisan kepimpinan peringkat pusat dan cabang.
Ismail berkata pihaknya tidak menyalahkan petugas terbabit kerana mereka adalah sukarelawan, selain ini merupakan kali pertama PKR mengadakan pengundian secara sistem e-undi serta mengguna pakai konsep ‘satu ahli satu undi’.
Beliau berkata pihaknya akan menambah baik kelemahan yang timbul hari ini pada pemilihan di negeri lain dan percaya masalah tersebut dapat diatasi dalam masa terdekat.
Katanya bagi cabang Sungai Petani, pengundian terpaksa ditangguhkan kerana beberapa kumpulan anggota PKR di situ tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan JPP PKR kerana membuka “barung panas” berhampiran pusat mengundi.
“Masalah itu timbul sejak semalam lagi apabila berlaku kekecohan di antara anggota sehingga kami terpaksa meminta bantuan polis bagi meleraikannya.
“Namun hari ini, masalah barung panas itu masih tidak dapat diselesaikan dan selepas perbincangan antara JPP PKR dan calon di cabang itu, kami mengambil keputusan untuk menangguhkan kepada tarikh lain,” katanya.
Mengulas mengenai beberapa pusat mengundi yang dibuka lewat, Ismail berkata proses pengundian akan dibuat selama 7 jam dan jika pusat mengundi dibuka lambat ia akan ditutup lewat.
“Memang ada pusat mengundi dibuka lambat, namun pengundi tak perlu bimbang kerana proses pengundian akan dibuat selama 7 jam,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhannya proses pengundian di semua cabang yang mengundi hari ini berjalan lancar dan pihaknya menjangkakan keputusan pengundian di Kedah dan Pulau Pinang diketahui seawal pukul 10 malam ini.