Makanan percuma untuk pelajar IPT kesempitan wang di Shah Alam

Makanan percuma untuk pelajar IPT kesempitan wang di Shah Alam

Aifa Azman, pemilik 'Drastix Cafe' di Seksyen 7, Shah Alam, menyediakan 'nasi bujang' yang terdiri daripada nasi bersama sup kosong, telur dadar dan sambal belacan.

Aifa juga menerima sumbangan orang ramai yang ingin bersedekah membantu pelajar yang memerlukan dan berharap pemberian makanan percuma itu dapat dijadikan aktiviti berpanjangan. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Pengalaman terpaksa mengikat perut semasa belajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Johor 7 tahun lepas mendorong pengusaha kedai makan di sini mengadakan sajian percuma bagi pelajar IPT yang menghadapi masalah kewangan.

Aifa Azman, 25, pemilik “Drastix Cafe” di Kondominium Kristal di Seksyen 7, di sini menyediakan “nasi bujang” yang terdiri daripada nasi bersama sup kosong, telur dadar dan sambal belacan.

“Saya turut selang-seli dengan masakan istimewa seperti ayam masak sambal pada hari tertentu,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata restorannya dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam, dan dari hari Isnin hingga Jumaat.

“Pelajar IPT bolehlah datang pada waktu itu untuk mendapat makanan percuma, “ katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, beliau menggunakan wang simpanannya untuk menyediakan sajian percuma dengan niat menyedekahkan pahala buatnya ibunya yang meninggal dunia pada 2014.

Walaupun masih baru, beliau berharap para pelajar IPT yang terpaksa mengikat perut kerana menghadapi masalah kewangan untuk datang ke cafenya.

Aifa juga menerima sumbangan orang ramai yang ingin bersedekah untuk tujuan membantu pelajar yang memerlukan.

Beliau berharap pemberian makanan percuma itu dapat dijadikan aktiviti berpanjangan dan bukan sekadar untuk sementara waktu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.