
Beliau berkata, draf akta tersebut sangat penting bagi mengelak berlakunya lebih banyak kes perkahwinan melibatkan gadis bawah umur.
“Saya sudah berbincang dengan Kabinet dan selepas dirujuk dengan hakim syariah, InsyaAllah hujung tahun ini kita akan lihat draf kanun undang-undang berhubung perkara ini,” katanya ketika ditemui di majlis Dialog Bersama Menteri di Universiti Islam Antarabangsa, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu perkahwinan bawah umur melibatkan seorang gadis berusia 15 tahun di Tumpat, Kelantan.
Gadis itu dilaporkan dinikahi seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berumur 44 tahun sebagai isteri ke-2.
Mujahid sebelum ini berkata buat masa ini, hanya Selangor dan Wilayah Persekutuan mengikut SOP yang dikeluarkan JKSM.
Katanya, pihaknya kini berharap perkahwinan kanak-kanak tidak lagi dieksploitasi oleh pihak tertentu.
“Keprihatinan kita adalah tiada lagi perkahwinan bawah umur sama ada lelaki atau perempuan.
“Dan juga, kita tidak mahu kemiskinan menjadi sekali lagi alasan perkara ini berlaku. Apa yang penting, kebajikan anak-anak itu. Pendidikan, ekonomi dan masa depan mereka.”