Apakah yang boleh KL tawar sebagai ibu kota buku dunia, soal Faisal Tehrani

Apakah yang boleh KL tawar sebagai ibu kota buku dunia, soal Faisal Tehrani

Kuala Lumpur adalah bandar raya ke-20 memenangi gelaran itu sejak 2001.

Faisal berkata apakah ‘track record’ yang membolehkan Kuala Lumpur dipilih jika dibandingkan dengan ibu kota dunia lain yang sebelum ini dipilih lebih hebat.
PETALING JAYA:
Penulis Faisal Tehrani hari ini berkata beliau kecewa dengan pemilihan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia bagi tahun 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Faisal atau nama sebenar Dr Mohd Faizal Musa yang merupakan felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia mempersoalkan apakah yang boleh tawarkan oleh Kuala Lumpur selepas dipilih oleh badan dunia itu.

“Kalau sekadar infrastruktur, kempen dalam kereta api dan MRT, hiaskan perpustakaan, digitalkan buku…saya rasa itu hanyalah (atas) permukaan. Kita hanya ada 1 tahun untuk mengubah mentaliti ini,” katanya ketika dihubungi FMT.

Sebelum ini media melaporkan Kuala Lumpur dinamakan Ibu Kota Buku Dunia bagi tahun 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), Rabu lepas.

Menurut kenyataan Unesco dalam laman sesawangnya, ibu negara Malaysia itu dipilih berikutan fokus yang kukuh terhadap pendidikan terangkum, pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dan pembacaan yang boleh diakses oleh semua peringkat penduduk di bandar raya berkenaan.

Kuala Lumpur adalah bandar raya ke-20 memenangi gelaran itu sejak 2001.

Pemenang sebelum ini termasuk Madrid (2001), Alexandria (2002), New Delhi (2003), Anvers (2004), Montreal (2005), Turin (2006), Bogota (2007), Amsterdam (2008), Beirut (2009), Ljubljana (2010), Buenos Aires (2011), Erevan (2012), Bangkok (2013), Port Harcourt (2014), Incheon (2015), Wroclaw (2016), Conakry (2017), Sharjah (2018), dan Athens (2019).

Mengulas lanjut, Faisal berkata beliau juga kecewa kerana apakah “track record” yang membolehkan Kuala Lumpur dipilih jika dibandingkan dengan ibu kota dunia lain yang sebelum ini dipilih adalah lebih hebat.

“Sebagai contoh antara kota yang pernah diiktiraf sebagai kota buku adalah Beirut. Beirut dalam dunia Arab, Timur Tengah memang diketahui pusat penerbitan buku yang bermutu.

“Begitu juga New Delhi (yang sebelum ini dipilih). Para pengarang di India tidak perlu meraih atau mengemis simpati pasaran antarabangsa. Maknanya cukup jual di situ sahaja tak perlu mencakupi antarabangsa,” katanya.

Menurut Faisal, Korea melalui bandar Incheon yang dipilih sebagai Ibu Kota Buku Dunia sebelum ini juga sangat agresif menjual budaya dan sasteranya.

“Kota-kota ini mempunyai ‘track record’ yang hebat tapi bagi Kuala Lumpur kita masih tertanya-tanya apa dia ‘track rekod’ yang hebat tersebut.

“Sedangkan Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said pun merajuk bahawa buku dia tidak dicetak semula kerana ada favouritisme,” katanya.

Selain itu, Faisal berkata pengarang muda di negara ini juga telah berputus ada dengan penerbit sedia ada.

“Mereka memilih penerbit yang lebih bebas dan mempersetankan penerbit yang mempunyai hubungan dengan kerajaan,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut mempersoalkan apakah yang mahu diisi oleh Kuala Lumpur memandangkan ia hanya mempunyai masa 1 tahun sahaja.

“Apa yang Kuala Lumpur boleh tawarkan? Kalau tawarkan sekadar bentuk digital, pemberdayaan apakah yang sempat dilakukan? Contohnya buku dalam tulisan braille?

“Berapa banyak buku Sasterawan Negara kita ataupun Kanun-kanun kita yang telah dibraillekan? Sejarah Melayu adakah sudah dibraillekan?,” soalnya.

Mengulas isu sama, Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said pula berpendapat adalah wajar Kuala Lumpur dinamakan Ibu Kota Buku Dunia dan rakyat negara ini seharusnya berasa bangga dengan perkembangan itu.

“Saya fikir memang sangat wajar tidak sahaja oleh kerana usianya (Kuala Lumpur) dan pembangunannya,” katanya.

Samad turut mengharapkan agar ada tindakan yang lebih progresif bagi mengesan buku Melayu sebelum ini untuk diterjemahkan.

Beliau dalam masa yang sama turut mengulas mengenai kewajaran Kuala Lumpur dipilih sebagai ibu kota buku sedangkan kerajaan pada masa sama turut mengharamkan sesetengah buku.

“Saya fikir soal diharamkan tidak menjadi soal. Memang ada buku diharamkan, macam buku Faisal Tehrani ada 6 buah diharamkan.

“Dia percaya bahawa buku itu tidak harus diharamkan dan dia membawa kes itu ke mahkamah dan menang. Jadi saya fikir soalnya sekarang ialah sejauh mana penulis kita merakamkan apa yang sedang bergolak di tanah air. Itu yang penting,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.