2,000 pelelong tuntut pembatalan e-Lelong di mahkamah

2,000 pelelong tuntut pembatalan e-Lelong di mahkamah

MPM berkata sistem itu menjejaskan kerjaya serta 'periuk nasi' mereka apabila disingkirkan oleh mahkamah dan kini dikendalikan syarikat swasta.

Ahli MPM bersama Haniff Khatri Abdulla (4 dari kanan) selesai menyerahkan memorandum kepada setiausaha politik perdana menteri.
PUTRAJAYA:
Majlis Pelelong Malaysia (MPM) hari ini menghantar satu memorandum ke pejabat perdana menteri bagi menuntut pembatalan e-Lelong di mahkamah yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Presiden MPM, Mustafa Osman berkata sistem tersebut menjejaskan kerjaya serta “periuk nasi” 2,000 pelelong seluruh Malaysia apabila mereka disingkirkan oleh mahkamah dan kini dikendalikan sebuah syarikat swasta dalam negara.

“Pihak ketua pendaftar Mahkamah Tinggi di Putrajaya mengesahkan pelelong-pelelong tidak akan diperlukan setelah e-Lelong dilaksanakan oleh pihak mahkamah memusnahkan kerjaya kami sebagai pelelong.

“Kami tiada bantahan sekiranya pihak mahkamah turut membenarkan kami pelelong-pelelong mengendalikan kerja-kerja lelongan dalam sistem e-Lelong seperti yang diamalkan sekarang di semua mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas selesai menyerahkan memorandum kepada setiausaha politik perdana menteri.

Mustafa berkata, tindakan yang dibuat pihak pendaftar mahkamah tinggi itu zalim apabila bertindak menyingkirkan semua pelelong yang ada pada awal bulan lalu.

Katanya, penyerahan memorandum ini dibuat supaya kerajaan dapat mengarahkan mahkamah membenarkan lelongan konvensional dijalankan serentak oleh pelelong di bawah arahan mahkamah.

“Kami harap Tun Mahathir boleh tolong kami.

“Semua ini berlaku pada kerajaan lepas, jadi kami minta pada kerajaan baru ini bantu kami sebab periuk nasi kami benar-benar sudah terjejas,” katanya.

Sementara itu peguam yang mewakili MPM, Haniff Khatri Abdulla berkata satu tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak pendaftar mahkamah sekiranya masih tiada sebarang keputusan dibuat kerajaan dan mahkamah dalam tempoh sebulan.

Menurut Haniff, beliau percaya sistem e-Lelong dijalankan tanpa mengikut prosedur dan undang-undang yang sepatutnya.

“Ini mungkin pelik sikit iaitu tindakan kehakiman terhadap mahkamah.

“Kami percaya apa yang dilakukan bukan sahaja tidak adil kepada mereka tetapi ia juga bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang kerana keperluan yang diadakan tidak dipatuhi ketika ini,” katanya.

Sejak 1929 di bawah Enakmen Lelongan Cap 81 No 2/1929 dan kemudian dari 1965 di bawah Kanun Tanah Negara 1965, MPM menjalankan lelongan awam di bawah arahan mahkamah dan di bawah enakmen tersebut. Hanya pelelong berlesen sahaja boleh menjalankan lelongan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.