Umno: Anwar tak akan menang tanpa bertanding

Umno: Anwar tak akan menang tanpa bertanding

Annuar Musa percaya selain Umno, pembangkang lain akan memberikan tentangan terhadap presiden PKR itu.

Annuar Musa berkata PRK Port Dickson menyeronokkan kerana Anwar Ibrahim akan bertanding dan Umno tidak ada tekanan.
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menang tanpa bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, walaupun Umno belum mengumumkan keputusan mahu bertanding atau tidak, kata Tan Sri Annuar Musa.

Setiausaha Agung Umno itu berkata, beliau percaya pembangkang akan memberikan tentangan terhadap Anwar memandangkan beberapa individu lain turut berhasrat bertanding.

“Kalau kita hendak bertanding, kita boleh bertanding. Kalau kita tidak bertanding, PAS juga mahu bertanding. Bebas juga ada cakap hendak bertanding.

“Tetapi yang pasti, Anwar tidak akan menang tanpa bertanding. Semuanya itu sama ada mahu bertanding atau tidak, kita akan tentukan pada 24 Oktober depan,” katanya di ibu pejabat Umno, hari ini.

Annuar menambah, beliau tidak melihat keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 September sebagai tarikh penamaan calon bagi PRK itu sebagai sabotaj memandangkan Umno mengadakan mesyuarat agung tahunan.

“Tidak. PRK Port Dickson ini seronok sebab istimewanya Anwar yang akan bertanding. Kita tidak ada tekanan, hendak bertanding tidak mengapa, tidak bertanding juga tidak mengapa,” katanya.

Hari ini, Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood berkata PRK Port Dickson bakal diadakan pada 13 Oktober depan dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 29 September.

Othman berkata, PRK ini akan menelan kos RM3.6 juta, dalam tempoh 14 hari berkempen, lebih tinggi daripada PRK sebelum ini kerana terdapat 5 kerusi DUN di Parlimen Port Dickson iaitu Chuah Lukut, Bagan Pinang, Linggi dan Sri Tanjung.

Kerusi Port Dickson kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada presiden PKR untuk kembali ke Parlimen.

Danyal, bekas pegawai tentera laut, memenangi kerusi tersebut dalam PRU14 setelah mendapat 36,255 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V S Morgan yang memperolehi 18,515 undi dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.