
Presiden China Xi Jinping memantau langkah penegasan semula Parti Komunis China yang memerintah, ideologi dan sejarahnya sebagai teras pendidikan serta mempromosi patriotisme sebagai ganti idea yang dianggap kebaratan oleh parti itu.
Langkah pembersihan oleh Kementerian Pendidikan China ini yang dijangka berterusan hingga 15 Okt depan akan “membetulkan dan menghapuskan” kursus asing atau ditulis sendiri dan menggantikannya dengan bahan yang dibenarkan kerajaan bagi pendidikan wajib 9 tahun rakyat, lapor media rasmi Xinhua.
“Baru-baru ini didapati sesetengah syarikat menulis dan menerbitkan buku teks tanpa kebenaran yang meminda kandungan sesetengah buku teks, dan sebilangan sekolah menggunakan buku teks mereka sendiri, bukan buku teks rasmi kerajaan, Biro Kandungan Pendidikan memberitahu Xinhua.
Bermula Musim Bunga 2019, kementerian akan terus membuat pemeriksaan berkala dan mana-mana kes serius yang menyaksikan sekolah masih menggunakan kandungan yang tidak diluluskan akan dianggap bertanggunjawab di sisi undang-undang, lapor Xinhua.
Percubaan Parti Komunis China menjadikan kecintaan kepada negara dan sejarah serta ideologinya sebagai teras sistem pendidikan negara itu dilihat semakin berlawanan dengan sektor pendidikan persendirian yang semakin berkembang serta minat terhadap pendidikan alternatif atau asing dalam kalangan keluarga kelas menengah.
Sebagai tindak balas, kerajaan China meningkatkan pemantauan ke atas sekolah dengan memperkenalkan peraturan baru sebagai panduan kandungan buku teks serta sekolah persendirian.
Xi menggesa lebih banyak “panduan ideologi” dilaksanakan di universiti negara itu dan melancarkan usaha menghidupkan semula kelas ideologi wajib yang mengajar mengenai Marxisme, pemikiran Mao Xedong dan ideologi beliau sendiri.