
Presidennya, Asheeq Ali berkata perkara itu didedahkan sendiri oleh Wan Saiful Wan Jan yang merupakan penasihat khas kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik.
“Wan Saiful Wan Jan sendiri mengatakan kepada saya secara peribadi iaitu pada malam saya berada di dalam KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia).
“Dia kata ada banyak lagi lantikan politik yang akan berlaku di dalam universiti.
“Kami juga ada rakaman video pendedahan tersebut,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Asheeq pernah ditahan bersama seorang lagi aktivis, Siti Nurizzah Mohamad Tazali selepas enggan bersurai dari pintu masuk kompleks kerajaan 6 September lalu sebagai memprotes lantikan Maszlee sebagai presiden UIAM.
Pada 12 September, gabungan itu berjaya mengadakan pertemuan bersama Maszlee untuk membincangkan lagi isu lantikan tersebut namun gagal menemui penyelesaian.
Maszlee yang mempertahankan jawatannya berkata beliau diberi misi penting, yang mana jika ditolak adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Misi tersebut adalah mengembalikan kegemilangan UIAM di peringkat antarabangsa.
GPA-IPT seterusnya memberi tempoh 7 hari kepada Maszlee untuk meletakkan jawatan sebagai presiden UIAM dan tempoh tersebut berakhir semalam.
Asheeq bagaimanapun memberitahu, Maszlee tidak mengendahkan “amaran” tersebut apabila kekal menjadi presiden UIAM sehingga ke hari ini.
Susulan itu katanya, gabungan GPA-IPT bakal meneruskan protes dengan melaksanakan satu siri jelajah ke universiti seluruh Malaysia bagi memberi pencerahan kepada mahasiswa tentang autonomi universiti yang wujud ketika ini.
“Kami memandang dia tidak serius dalam mengembalikan autonomi universiti.
“Bila Dr Maszlee menjadi seorang presiden dalam sebuah universiti dan juga memegang kepentingan parti, memegang kepentingan Kabinet, ia secara langsung bercanggah dengan konsep autonomi universiti dan ia juga menimbulkan konflik kepentingan.
“Isu Dr Maszlee ada simbolik dan satu isu besar yang mengancam autonomi universiti dan kita akan bawa perbincangan ini ke nasional kepada mahasiswa,” katanya.
Asheeq turut memberi amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan bahawa mahasiswa akan menentang pemerintahan sedia ada sekiranya ia tidak mengendahkan suara mahasiswa dalam hal ini.