
Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi memberi amaran badan itu tidak ubah seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan, agensi pusat yang menyelaras, memantau dan mengawal rapi pelaksanaan projek pembangunan persekutuan di negeri.
“Pemimpin PH Kelantan, khususnya Amanah, semasa bersama PAS menentang kewujudan JPP, katanya bercanggah dengan perlembagaan, amalan federalisme dan demokrasi.
“Mereka tidak mahu gangguan semasa berada dalam kerajaan negeri tapi menjadi pendokong bila mereka tidak berada dalam kerajaan negeri,” katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan Majlis Presiden PH bersetuju dengan cadangan penubuhan Majlis Tindakan Pembangunan Kelantan dan cadangan itu akan diangkat kepada perdana menteri.
“JPP akan menjadi urusetia majlis ini,” kata Timbalan Pengerusi PH Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah.
JPP Kelantan ditubuhkan pada 1 Januari 1991 selepas kerajaan Barisan Nasional tewas di negeri itu pada pilihan raya umum 1990, dan bertanggungjawab secara langsung kepada unit penyelarasan pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri.
Menteri besar Kelantan ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan JPP sebagai membazir dan perlu ditutup kerana kewangan boleh disalurkan terus kepada kerajaan negeri.
“Kita tuntut kerana menteri dalam Parlimen baru-baru ini berkata Malaysia Baharu tidak akan sama sekali mengambil tindakan yang boleh dilihat menubuhkan ‘kerajaan dalam kerajaan,” kata Che Abdullah, merujuk kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Kalau betul pemikiran PH itu sepertimana apa yang Umno lakukan, perubahan yang dibuat rakyat pada PRU lepas memang satu kesilapan besar. Ini merupakan kebencian, dendam peribadi atau cita-cita peribadi.”