Bandar ciplak Eropah di China terus gagal, tinggal berhantu

Bandar ciplak Eropah di China terus gagal, tinggal berhantu

Selain barang dan produk, China juga memalsukan lokasi bandar raya, kota mahupun perkampungan yang popular di Eropah.

China memang terkenal sebagai negara yang aktif mengeluarkan barangan palsu yang murah tetapi mengekalkan fizikal asalnya. Ini menjadikan negara itu terus menjadi pusat untuk barangan alternatif mahupun palsu dengan penerimaan pasaran di luar jangkaan.

Nampaknya negara tanah besar itu tidak hanya mengehadkan kepada memalsukan sesuatu produk tetapi melangkah hebat dengan membina bandar raya-bandar raya bayangan atau palsu yang sangat menawan.

Dipetik dari laman InsiderPro, FMT Ohsem menyenarai destinasi bandar ciplak terkemuka di China yang menyerupai bandar raya, kota ataupun perkampungan popular negara barat. Anda pasti akan terpesona melihat hasil kerja mereka walaupun wujud sedikit perbezaan yang nyata antara yang palsu dan asli.

Apapun ia bukanlah usaha yang mudah untuk membina sebuah lokasi bayangan yang membabitkan kawasan yang luas.

1. Paris dan Menara Eiffel

Tercetusnya idea untuk menulis artikel ini selepas menonton klip video vlogger Nas Daily di Facebook selepas beliau berkongsi kewujudan kota palsu Paris di China. Menariknya mengenai ‘Paris palsu’ ini, ia siap dibina dengan menara Eiffel selain bangunan dan arca pepatung mirip seperti di kota itu. Jika anda mahu ke ‘Paris palsu’, kunjungi sahaja bandar Tianducheng yang terletak di luar kota Shanghai, rakam gambar dan anda tetap akan pulang dengan kenangan yang istimewa. Kawasan yang dibangunkan pada tahun 2007 ini kurang sesak, masih tidak berpenghuni sepenuhnya dan kosong di kebanyakan tempat tetapi ramai memilih mengunjunginya sebagai destinasi murah, lokasi penggambaran perkahwinan dan sebagainya.
Bagaimanapun, kota palsu ini berbeza dari segi ukuran di mana semua landmark dibina dalam ukuran yang lebih kecil termasuk menara Eiffel itu sendiri iaitu 108 meter sahaja.

2. Florencia, Italia

Kota Florencia yang terkenal dengan terusan air dan bangunan-bangunan berartistik mewah dan jambatan Rialto yang terkenal juga turut dibina di tanah besar China.
Dibina di bandar pelabuhan Tianjin, sebelah utara China, bayangan Kota Florencia ini didirikan di atas tanah seluas 20 hektar dan dibuka untuk umum sejak tahun 2011. Ia turut menempatkan kompleks beli-belah yang menempatkan lebih 200 jenama terkenal di dunia. Turut didirikan di kota palsu ini selain jambatan Rialto ialah kebun Villa Borghese serta miniatur Coloseum.

3. Manhattan, Amerika Serikat

Manhattan sebuah kota yang sibuk di Amerika Syarikat juga boleh dijumpai di tengah-tengah negara China. Konsep rekaan mini di perkampungan nelayan kuno di Tianjin pasti akan memberi peluang pengunjung merasai ‘pengalaman’ Manhattan. Ia dibangunkan dengan rekaan kota moden dan mewah ini dijangka disiapkan pada tahun 2019 dan diharap bakal menjadi pusat kewangan dunia. Sayangnya, pembinaan kota palsu yang dilengkapi dengan lokasi-lokasi popular seperti Juilliard School dan replika Rockefeller serta Lincoln Center terhenti di tengah jalan dan menjadi bandar raya hantu yang tidak berpenghuni.

4. Thames, London

Bangunan-bangunan berciri Victoria dengan atap tinggi ini sepatutnya menjadi bandar bayangan Kota Thames di London. Bandar ini dibangunkan untuk menarik perhatian warga China khususnya Shanghai yang tersekat dalam rutin harian yang sibuk. Tujuannya agar mereka yang tinggal di kota ini dikelilingi persekitaran seperti tinggal di Eropah dalam ketenangan, malangnya bandar ini juga dikatakan menjadi bandar raya hantu ekoran tiada sambutan dari warga China itu sendiri.

5. Amsterdam, Belanda

Di wilayah Pudong, China anda pasti akan terpegun dengan kota seakan di Belanda, Amsterdam. Ia digelar Hollad Town yang dilengkapi kincir angin, gudang gandum serta bangunan beratap merah. Pudong adalah satu lagi bandar raya berdekatan Shanghai di bawah projek “1 City – 9 Town”.
Di sini, Amsterdam palsu yang dibina oleh Planning Commision pada tahun 2001 dipastikan menyerupai fizikal bandar asli termasuk dari segi bangunan, muzium Maritim Belanda dan pusat beli-belah Bijenkorf di Amsterdam yang menjadi tarikan di bandar sebenar itu. Sekali ini, satu lagi projek gagal kerana kota ini dibina jauh dari pusat kota.

6. Sigtuna, Sweden

Juga di bawah projek “1 City – 9 Town” oleh Shanghai Planning Commision, bandar Sigtuna di Sweden menjadi antara lokasi bayangan atau bandar palsu yang dibangunkan di China. Pelbagai jenis kompleks bangunan dan kota mini yang menyerupai bandar Sigtuna dibina di sini. Bandar Sigtuna palsu ini dipengaruhi rekaan Skandinavia dan dilengkapi replika Tasik Malaren dan kompleks parlimen seperti mana di bandar asal. Satu lagi projek kota hantu yang ditinggalkan kerana jauh dari pusat bandar selain kurangnya sambutan dari orang awam.

7. Replika Alpine Village Hallstatt, Austria

Bandar replika Alpine Village Hallstatt adalah satu lagi bandar tiruan di China yang sekaligus memalsukan bandar warisan dunia dari Austria. Berlokasi di tengah-tengah wilayah Guangdong, sebuah perkampungan Eropah yang dipindah ke negara China. Lebih AS$940 juta dikatakan dihabiskan untuk membina kota palsu ini dan dibuka kepada umum pada tahun 2012.

8. Interlaken, Switzerland

Sebuah taman statik berdekatan sungai di Hong Kong, Overseas Chinese Town East (OCT) adalah tiruan dari bandar Interlaken di Switzerland. Kawasan ini lengkap dengan tasik buatan dan bangunan-bangunan mirip kota aslinya. Dalam kawasan seluas 9 km persegi ini dilengkapi resort 5 bintang berserta spa, padang golf, keretapi dan jambatan kayu tertutup di Lucerne, Kappelbrücke.
Bandar Interlaken sebenar yang terletak 118 km dari bandar raya Zurich dikelilingi pegunungan Alps dan tasik yang cantik dan jernih.

9. Jerman

Bandar Anting juga dibina berdekatan Shanghai meniru bandar bayangan dari Jerman. Ia dinamakan The Anting German Town direka oleh Albert Speer. Bangunan tinggi berwarna-warni, ruangan hijau yang terbuka dan restoran atau kedai kopi mirip Jerman menghiasi bandar ini. Walaupun pada awalnya ia dibina dengan harapan membawa masuk sekitar 50,000 populasi tetapi mengikut rekod tidak rasmi ia hanya diduduki sekitar 1,000 orang sahaja.

Hampir kesemua bandar ‘ciplak’ yang dibina di China terkandas sebagai bandar hantu. Projek-projek tersebut dipercayai menelan belanja yang banyak namun tinggal sebagai pembaziran terbesar selepas tidak mencapai objektif sehingga ada bandar yang langsung tidak diusik.

Selain bandar tiruan, China terkenal dengan bandar-bandar futuristik atau bandar khusus yang dibina dengan belanja berbilion dollar tetapi tidak berpenghuni, yakni ditinggalkan sebagai bandar berhantu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.