Umno cadang kemungkinan gabung dengan PKR bentuk Pakatan Malaysia

Umno cadang kemungkinan gabung dengan PKR bentuk Pakatan Malaysia

Naib Presiden Umno, Khaled Nordin berkata, Pakatan Malaysia termasuk PAS, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Bersatu Sabah dan PKR.

Khaled Nordin berkata, Umno masih sebuah parti mengagumkan dan sudah belajar daripada kesilapannya, serta lebih dominan daripada PPBM.
PETALING JAYA:
Empat bulan selepas Barisan Nasional mengalami kekalahan mengejut dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membayangkan kemungkinan wujud pakatan baru.

Beliau merujuk pembentukan Pakatan Malaysia yang termasuk PAS, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Bersatu Sabah dan PKR.

Katanya, dengan formula betul, mereka boleh membentuk pakatan politik yang setanding Pakatan Harapan.

Dalam surat kepada Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, beliau dipetik New Straits Times sebagai berkata: “Ketika ini, Malaysia dicorak sebuah gabungan politik berbanding banyak parti politik.

“Setiap satu mempunyai kekuatan sendiri dan setiap satu perlu menjadi strategik dan terbuka untuk terus bertahan.

“Tidak mustahil untuk sebuah gabungan baru, dengan PAS, MCA, MIC, GPS, Gabungan Bersatu Sabah dan PKR, untuk membentuk Pakatan Malaysia, berbanding Pakatan Harapan.”

Khaled berkata, Umno masih sebuah parti mengagumkan dan sudah belajar daripada kesilapannya, serta lebih dominan daripada PPBM.

“Kami akan terus menghidupkan Umno kerana ia adalah gerakan kebaikan untuk menguatkan bangsa Melayu. Ia adalah sebuah institusi politik Melayu dan bagi orang Johor seperti saya, ia sebahagian daripada hidup kami.”

Khaled berkata, Umno memahami isyarat yang rakyat hantar kepada mereka pada pilihan raya umum ke-14 lalu, tetapi tidak bermakna parti itu perlu berputus asa dan tidak membuat apa-apa.

“Sebaliknya, ia akan memperbaiki diri dan mengembalikan kredibilitinya.

“Kami akan belajar daripada kesilapan kami. Umno mendapat pengajaran besar dan kami berjanji tidak mengulangi kesilapan lampau. Insyallah, kami akan atasinya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.