2 renjer Thailand maut, 4 cedera diserang hendap di Pattani

2 renjer Thailand maut, 4 cedera diserang hendap di Pattani

Mereka ditembak bertubi-tubi oleh individu menggunakan pelbagai senjata ketika melalui kawasan gelap di Kampung Donna, Nongchik di Pattani.

Wilayah selatan Thailand bergolak sejak 2004.
PATTANI:
Dua anggota keselamatan Thailand maut manakala 4 lain cedera dalam serangan hendap oleh individu tidak dikenali di Kampung Donna, Nongchik di wilayah bergolak Pattani di selatan Thailand.

Ketua Bahagian Siasatan Balai Polis Nongchik Kapt Sarawut Nucharan mengesahkan kejadian itu berlaku 10.00 malam (waktu tempatan) semalam ketika anggota renjer terbabit dalam tugas meronda menggunakan 3 buah motosikal.

“Ketika melalui satu kawasan gelap, mereka ditembak bertubi-tubi oleh individu menggunakan pelbagai senjata. Dua anggota maut di tempat kejadian akibat tembakan di bahagian badan dan kepala,” katanya hari ini.

Keempat-empat mangsa yang cedera dibawa ke hospital tentera di Kem Ingkhayuthaborihan, yang terletak berhampiran.

Ketua Tentera di Pattani Mej Jen Jatuporn Kalampasut mengerah ratusan anggota tentera ke lokasi kejadian untuk mengepung kawasan terbabit dan memburu individu yang bertanggungjawab terhadap kejadian serangan itu.

Konflik bersenjata di wilayah-wilayah selatan Thailand mengorbankan kira-kira 6,500 nyawa sejak ia bermula pada 2004, menurut badan bukan kerajaan, Deep South Watch (DSW) yang memantau konflik itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.