Penganalisis: Lebih mudah jika Wan Azizah, Nurul Izzah lepaskan kerusi

Penganalisis: Lebih mudah jika Wan Azizah, Nurul Izzah lepaskan kerusi

Prof Azmi Hasan berkata wujud kebimbangan jika kerusi untuk Anwar Ibrahim akan diambil daripada ahli parlimen yang sehaluan dengan Azmin Ali.

Azmi Hasan berkata perdebatan yang berlaku dalam PKR ketika ini hanya menonjolkan lagi andaian sememangnya wujud 2 kem dalam parti itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik berpendapat isu pemilihan kerusi untuk Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi “sehangat” sekarang jika isteri atau anaknya bersedia mengosongkan kerusi yang disandang mereka untuk memberi laluan kepada pemimpin itu, sejak dari awal.

Prof Azmi Hasan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata perdebatan berhubung perkara itu tercetus mungkin disebabkan ada ahli PKR dari kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak senang jika mana-mana kerusi Parlimen mereka perlu dikosongkan untuk Anwar.

“Ada kebimbangan yang mengatakan kerusi itu diambil daripada ahli parlimen yang sehaluan dengan Azmin.

“Kalau diambil, jadi Azmin akan kehilangan seorang penyokong.

“Saya melihat isu ini boleh dipadam jika anak Anwar iaitu Nurul Izzah atau isterinya melepaskan kerusi, tapi ia akan menjadi isu bila kerusi di luar 2 ini diambil, itu menjadi isu sensitif,” katanya kepada FMT.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memegang kerusi Parlimen Pandan manakala Nurul Izzah pula memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Sebelum ini, media melaporkan kedua-dua ahli parlimen itu tidak akan mengosongkan kerusi mereka untuk diberikan kepada Anwar.

Beberapa hari lalu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata PKR akan mengosongkan 1 kerusi Parlimen minggu ini bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding, dan disahkan oleh Wan Azizah.

Namun Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata kepimpinan tertinggi PKR belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai kerusi Parlimen yang dimaksudkan malah hanya mengetahui perkara itu melalui media.

Perdebatan berhubung perkara itu berterusan apabila Rafizi dilaporkan berkata, perbincangan mengenai pengosongan kerusi Parlimen untuk Anwar hanya diadakan bersama mereka yang rapat dengan Anwar sahaja.

Susulan itu Naib Presiden PKR, Tian Chua menyelar Rafizi dengan berkata kenyataannya itu tidak sama dengan tindakannya sebelum ini yang sering bercakap mengenai ketelusan dan keterbukaan.

Disebalik perdebatan di kalangan pimpinan tertinggi PKR, Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution pula berkata pengumuman berkenaan kerusi Parlimen yang akan ditandingi Anwar akan dibuat hari ini.

Mengulas lanjut Azmi kata, perdebatan yang berlaku dalam PKR ketika ini hanya menonjolkan lagi andaian sememangnya wujud 2 kem dalam parti itu.

“Bila berlakunya pemilihan ini, memang nampak jelas wujud kem dalam parti walaupun mereka cuba menafikannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.