
Ambrin yang dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara di Kementerian Kewangan, berkata beliau akan memberi kerjasama penuh berhubung kes itu.
“Kita punya laporan (Laporan Ketua Audit Negara) itu juga telah digunakan sebagai asas kepada siasatan lanjut (skandal 1MDB). Kalau kerajaan bawa kes ke mahkamah dan saya dipanggil menjadi saksi, saya akan bekerjasama,” katanya selepas majlis sambutan ambang Maal Hijrah 1440 Selangor di sini, malam tadi.
Terdahulu, Amrin dalam majlis itu menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1440 Selangor yang disampaikan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah.
Ogos lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul supaya ketua audit negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara menyiasat semula penyelewengan dan skandal 1MDB serta syarikat berkaitan dengannya.
Usul itu dibentang Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mencadangkan siasatan dibuat supaya maruah Dewan Rakyat dapat dipulihkan, manakala segala maklumat berkaitan harus didedahkan kepada umum.