
Syukri Muhamad Abiah, 37, yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan maut dalam kejadian tembak-menembak dengan sepasukan polis di Felda Neram Satu dalam satu serbuan kira-kira 4.30 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Fazlisyam Abd Majid berkata, lelaki itu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terkena tembakan di dada kanan dan kepala.
“Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu di sebuah rumah separuh siap, selepas usaha menjejaki suspek dijalankan selama 3 tahun.
“Polis terpaksa menembak balas untuk mempertahankan diri. Pemeriksaan selepas itu mendapati suspek tidak sedarkan diri dan kemudiannya meninggal dunia akibat ditembak,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kemaman, Mohd Said Ibrahim.
Polis turut menemui sepucuk pistol semi automatik jenis Norinco, sebutir peluru dan sebilah parang milik suspek di tempat kejadian.
Fazlisyam berkata, suspek ialah penjenayah amat dikehendaki bagi siasatan kes bunuh dan culik di 3 negeri iaitu Terengganu, Kelantan serta Pahang, dan polis percaya susulan kematian penjenayah itu, pihaknya dapat menyelesaikan beberapa kes pembunuhan di 3 negeri berkenaan.
Polis juga tidak menolak kemungkinan suspek ialah pembunuh upahan.
Suspek mempunyai isteri dan 3 anak serta pernah ditangkap beberapa kali kerana jenayah kekerasan dan dipenjarakan pada 2001 kerana mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.
“Kita percaya suspek mempunyai ramai rakan yang membantunya menyembunyikan diri daripada polis.”