Minoriti Islam Xinjiang hadapi ‘indoktrinasi politik’, kata Human Rights Watch

Minoriti Islam Xinjiang hadapi ‘indoktrinasi politik’, kata Human Rights Watch

Beijing menafikan kem tersebut bertujuan menjalankan pendidikan politik sebaliknya menegaskan ia merupakan pusat latihan vokasional.

Penduduk Xinjiang yang mempunyai saudara-mara di salah sebuah daripada 26 “negara sensitif” seperti Kazakhstan, Turki dan Indonesia menjadi sasaran pihak berkuasa dan sering ditahan tanpa prosedur rasmi.
BEIJING:
Minoriti Islam Uighur di wilayah Xinjiang China berhadapan penahanan sewenang-wenang, sekatan harian ke atas pengamalan agama dan “indoktrinasi politik paksa” dalam operasi keselamatan besar-besaran, kata Human Rights Watch (HRW).

Ogos lepas panel hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata ihak berkuasa China dipercayai menahan sehingga 1 juta orang etnik Uighur dalam sebuah sistem “kem tahanan” rahsia di Xinjiang, yang terletak di barat negara itu, di mana mereka melalui program pendidikan politik.

Beijing menafikan kem tersebut bertujuan menjalankan pendidikan politik sebaliknya menegaskan ia merupakan pusat latihan vokasional bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan mobiliti sosial di wilayah itu.

China berkata Xinjiang berhadapan dengan ancaman serius daripada kumpulan militan dan pemisah Islam yang melancarkan serangan dan mencetus ketegangan antara etnik Uighur yang menganggap wilayah tersebut sebagai negeri mereka dengan etnik majoriti Han.

Etnik Uighur dan penganut Islam lain yang ditahan di kem terbabit dilarang menggunakan sapaan Islam, diwajibkan mempelajari bahasa Mandarin dan menyanyikan lagu propaganda, menurut laporan HRW berdasarkan temu bual dengan bekas tahanan.

Penduduk Xinjiang yang mempunyai saudara-mara di salah sebuah daripada 26 “negara sensitif” seperti Kazakhstan, Turki dan Indonesia menjadi sasaran pihak berkuasa dan sering ditahan selama beberapa bulan tanpa prosedur rasmi, kata kumpulan itu.

Hukuman kerana enggan mematuhi arahan di dalam kem termasuklah tidak diberi makan, dipaksa berdiri selama 24 jam atau dikurung bersendirian, katanya.

Keadaan keselamatan di luar kem di Xinjiang juga tegang dan semakin “menyerupai keadaan di dalam kem”, kata penyelidik HRW berpangkalan di Hong Kong, Maya Wang berdasarkan temu bual dengan 58 bekas penduduk Xinjiang yang kini tinggal di luar negara.

Wang dan kumpulannya hanya bercakap dengan penduduk yang telah meninggalkan Xinjiang kerana kekurangan akses ke wilayah itu dan untuk tidak membahayakan penduduk yang masih berada di sana.

Langkah keselamatan baru yang disebut oleh kumpulan itu termasuklah semakin banyaknya pos pemeriksaan yang menggunakan teknologi pengenalan wajah dan sistem pemantauan canggih sehinggakan setiap rumah ditetapkan kod QR tertentu yang apabila diimbas akan mendedahkan identiti penghuni yang diluluskan.

Wang berkata, pemantauan pengamalan agama, seperti bertanyakan orang ramai kekerapan mereka bersembahyang dan penutupan masjid, selain pemeriksaan kerap kawasan luar bandar Xinjiang oleh pegawai parti menjadikan amalan Islam seolah-olah “diharamkan sama-sekali”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.