
Menterinya Dr Xavier Jayakumar berkata sebuah unit petugas khas juga akan ditubuhkan bagi menyediakan prosedur operasi standard (SOP) baru berhubung perlombongan, pengangkutan, pengurusan simpanan stok dan pengeksportan bauksit.
“Selepas tempoh moratorium ditarik balik, kesemua pemain industri termasuk pelombong yang diberikan lesen eksport perlu menandatangani surat Aku Janji untuk mematuhi semua peraturan dan syarat yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Xavier berkata jika didapati mana-mana pihak melanggar syarat yang ditetapkan, beliau akan tidak teragak-agak menghentikan pengoperasian mereka dengan serta merta.
“Kami akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang dalam menangani isu berkenaan dan tindakan tegas akan diambil dengan tidak mengeluarkan lesen eksport kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan tidak mematuhi tempoh moratorium yang masih berkuatkuasa sehingga 31 Disember tahun ini,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri boleh mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut Enakmen Mineral Negeri Pahang jika didapati terdapat pihak yang melombong secara haram di atas tanah kerajaan.
“Hukuman denda dan penjara akan dikenakan jika sabit kesalahan,” katanya.
Pada 7 September lepas, pihak kementerian mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi mendapatkan gambaran holistik berhubung hala tuju industri perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri berkenaan.