Tembok MCKIP: Kumpulan perniagaan, PAS sokong Dr M

Tembok MCKIP: Kumpulan perniagaan, PAS sokong Dr M

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata syarikat asing yang beroperasi di Malaysia hendaklah peka terhadap sensiviti rakyat tempatan sewaktu memulakan perniagaan di negara ini.

Tembok yang dilihat sebagai simbol kebebasan luas yang diberikan kepada syarikat dari China di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak dikritik hebat PH sebelum ini.
PETALING JAYA:
Dua kumpulan berkepentingan industri menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan tembok kontroversial yang dibina sebuah syarikat China di zon industri di Pahang akan dibenarkan kekal berikutan kenyataan mempertahankannya oleh seorang timbalan menteri selepas ia dibantah oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata syarikat asing yang beroperasi di Malaysia hendaklah peka terhadap sensiviti rakyat tempatan sewaktu memulakan perniagaan mereka.

“Jika tidak ia akan menimbulkan syak dan perasaan tidak senang dalam kalangan masyarakat tempatan,” kata pengarah eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan kepada FMT.

Semalam Timbalan Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri Ong Kian Meng mempertahankan Alliance Steel, syarikat yang kawasan kilangnya di Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dikeliling tembok setinggi 3 meter.

Tembok itu, yang dilihat sebagai simbol kebebasan luas yang diberikan kepada syarikat dari China di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dikritik hebat Pakatan Harapan (PH) sebelum ia memenangi pilihan raya umum Mei lepas.

Bulan lepas, sekembalinya daripada lawatan rasmi ke China, Dr Mahathir berkata tembok itu bercanggah dengan undang-undang negara.

Beliau berkata, taman industri itu bukan berada di negara asing dan mendesak tembok itu dirobohkan.

“Takda orang pernah buat begitu. Bina tembok di sekeliling sebuah taman industri dan tak benarkan rakyat Malaysia masuk. Bukan itu amalannya. Kita ada beratus-ratus taman industri dan semuanya tertakluk kepada undang-undang Malaysia,” katanya dalam temu bual dengan portal Malaysiakini.

Dr Mahathir seterusnya berkata, sekiranya jenayah dilakukan di dalam kawasan terlindung itu, maka ia merupakan tanggungjawab Putrajaya, bukannya tanggungjawab pemilik taman industri tersebut.

Shamsuddin berkata, isu melibatkan tanah berada di bawah pihak berkuasa tempatan.

“Kerajaan Pahang perlu mengambil langkah tepat supaya tidak menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan,” katanya.

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berkata tembok itu memang menimbulkan kebimbangan mengenai isu keselamatan dan lebih banyak perbincangan tentang perkara itu perlu diadakan.

“Kenapa ia perlu disembunyikan dan apakah yang hendak disembunyikan?,” soal ketua pegawai eksekutifnya Ahmad Yazid Othman.

“Perlu juga dibincangkan peraturan di negara ini supaya ia adil kepada semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, PAS juga menyokong gesaan Dr Mahathir supaya tembok itu dirobohkan dengan berkata cadangan syarikat China terbabit untuk hanya merendahkannya harus ditolak.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan juga mempersoalkan kenyataan Ong yang menyanggah perdana menteri.

“Tidak patut begitu. Kawasan itu harus terbuka dan boleh dimasuki orang awam,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya tembok itu dibenarkan kekal, syarikat lain juga mungkin melakukan perkara sama tanpa pihak polis mengetahui apa-apa kejadian yang berlaku di dalamnya.

“PAS menyokong perkara yang baik untuk negara. Keputusan perdana menteri dalam isu ini tepat,” kata beliau.

Anggota majlis tertinggi PPBM, Tariq Ismail berkata, walaupun pelaburan asing langsung (FDI) dari China dialu-alukan, namun ia tidak boleh menggugat kedaulatan negara.

“Malah FDI mesti mengutamakan pekerjaan dan latihan untuk rakyat tempatan.

“Saya harap Alliance Steel berunding dengan kerajaan berhubung isu ini,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.