
Akmal Nadzim Abdullah dari Cawangan Operasi dan Pencegahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata operasi itu bertukar tak terkawal apabila orang-orang di premis menghalang tugas penguatkuasa.
Beliau berkata kebiasaannya orang-orang di premis akan memberi kerjasama kepada penguatkuasa, berdasarkan kepada operasi yang pernah dijalankan sebelum itu.
“Tapi sebab kekecohan luar jangka maka kami tidak dapat kawal situasi tersebut dengan sempurna,” kata ketua penolong bahagian penguatkuasaan Jawi ini kepada mahkamah hari ini.
Akmal dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes peguam dan aktivis Siti Kasim dituduh menghalang tugas penguatkuasa Jawi pada 3 April 2016.
Siti didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Video memaparkan Siti menaikkan suara kepada penguatkuasa menuntut mereka menunjukkan waran tersebar di media sosial.
Akmal memberitahu Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman bahawa serbuan itu dibuat atas aduan awam yang diterima pada 2 Mac.
Beliau menambah fatwa yang diwartakan pada 8 Februari 1996 menyatakan haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai, menganjur dan menyumbang pada apa-apa cara ratu cantik.
Akmal memberitahu ketika serbuan pada 3 Mac, Siti menghampirinya dan beliau kemudian mempamerkan kad kuasa dan menjelaskan tujuan serbuan itu.
Perbicaraan akan bersambung pada 15 Oktober ini.