KPKT kaji kuota 70% kepada warga asing di Forest City

KPKT kaji kuota 70% kepada warga asing di Forest City

Zuraida mahu warga tempatan juga boleh menikmati pembangunan canggih bandar itu.

Zuraida mahu warga tempatan juga boleh menikmati pembangunan canggih bandar itu. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengkaji semula kuota hartanah 70% kepada warga asing di Forest City, Johor agar rakyat lebih berpeluang memiliki unit rumah mewah di situ.

“Kita tengok apa cara yang terbaik untuk penduduk tempatan tidak dipinggirkan agar mereka boleh menikmati pembangunan yang canggih dan ‘advance’, seperti menggunakan ciri-ciri bandar hijau,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan ke-72 di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Sebelum ini Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Dzulkefly Ahmad dilapor berkata kerajaan Johor mencadangkan kuota 30% untuk rakyat di Forest City berdasarkan dapatan awal mengenai projek itu.

Cadangan itu belum dimuktamadkan.

Zuraida berkata tiada dasar menyatakan warga asing akan diberi visa melalui pembelian hartanah di Forest City, namun begitu pihaknya meminta Kementerian Dalam Negeri memperketatkan visa dan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Skim MM2H membolehkan warga asing yang memenuhi kriteria tertentu untuk menetap di Malaysia selama mana yang dibolehkan pas lawatan sosial khas, pada mulanya untuk tempoh 10 tahun dan boleh diperbaharui.

Pembelian hartanah bukan prasyarat untuk melayakkan diri dan mereka yang memohon dibenarkan membeli hartanah sekurang-kurangnya pada harga minimum yang ditetapkan setiap negeri, seperti RM1 juta di Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.