Jamal puji Peguam Negara ‘murah hati’ gugur kes pemimpin PH

Jamal puji Peguam Negara ‘murah hati’ gugur kes pemimpin PH

Jamal Yunos turut menghantar surat rayuan kepada Tommy Thomas memohon pertimbangan kes yang disiasat dan dituduh terhadapnya agar dikaji dan ditarik balik.

Jamal Yunos menyifatkan pemilihan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara cukup baik dan tepat.
PUTRAJAYA:
Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini mempertahankan pelantikan Peguam Negara, Tommy Thomas oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), menyifatkan pemilihan itu cukup baik dan tepat.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata beberapa bulan ini, beliau melihat Tommy sangat bermurah hati dan baik hati kerana ramai pemimpin PH dibebaskannya seperti Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan ramai lagi.

Katanya, disebabkan sifat murah hati Peguam Negara, beliau menghantar surat rayuan bagi memohon pertimbangan kes yang disiasat dan dituduh terhadapnya agar dikaji dan ditarik balik.

“Hari ini saya mengambil kesempatan di atas sikap murah hati Peguam Negara untuk beliau menarik juga kes-kes yang sedang saya hadapi,” katanya kepada pemberita di luar Jabatan Peguam Negara.

Jamal berkata, sejak beberapa hari ini juga, beliau melihat ramai pihak yang marah dengan tindakan Tommy menarik balik kes tuduhan rasuah ke atas Lim berhubung pembelian banglo.

Beliau menyeru pihak terbabit tidak marah dengan tindakan Tommy itu kerana beliau merupakan seorang yang baik dan murah hati.

“Yang marah di sebelah sana itu kerana mereka tak memohon (gugurkan kes). Jadi kalau mereka tak mohon macam mana Peguam Negara nak lepaskan.

“Jadi mana-mana rakyat Malaysia termasuk juga bukan rakyat Malaysia yang dituduh di dalam negara kita ini boleh membuat surat permohonan repsentasi untuk menggugurkan kes-kes atau tuduhan tersebut,” katanya sambil menambah beliau mempunyai 3 kes di mahkamah dan bakal menghadapi 2 kes lagi dalam masa terdekat.

Jamal turut meminta bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan kepada Tommy untuk membatal dan menarik kes yang dihadapinya.

“Saya juga minta Datuk Seri Najib Razak buat permohonan kepada peguam negata supaya kes-kes Datuk Seri Najib Razak dibatalkan dan ditarik balik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.