UK tuduh 2 warga Rusia atas cubaan bunuh bekas perisik

UK tuduh 2 warga Rusia atas cubaan bunuh bekas perisik

Perdana Menteri Theresa May menyalahkan kerajaan Rusia dan menggambarkan suspek sebagai pegawai perisikan GRU.

Gambar Reuters.
LONDON:
Britain hari ini menuduh 2 warga Rusia dengan cubaan membunuh seorang bekas perisik Rusia dan anak perempuannya, menggambarkan suspek sebagai pegawai perisik tentera yang hampir pasti bertindak bagi pihak kerajaan Rusia.

Polis British mendedahkan imej 2 lelaki yang menurut mereka terbang ke Britain pada hujung minggu pada Mac untuk membunuh bekas perisik Sergei Skripal dengan agen saraf gred tentera, Novichok.

Anak perempuan Skripal, Yulia dan seorang pegawai polis yang pergi ke tempat kejadian dalam kes itu jatuh sakit, menyebabkan pengusiran diplomatik terbesar sejak Perang Dingin.

Kemudian, seorang wanita maut akibat keracunan Novichok selepas suaminya membawa pulang satu botol minyak wangi tiruan yang tercemar ke rumah.

Perdana Menteri Theresa May menyalahkan kerajaan Rusia dan menggambarkan suspek sebagai pegawai dalam perisikan tentera Rusia, GRU.

“GRU satu pertubuhan yang sangat berdisiplin dengan rangkaian perintah yang mantap, jadi ini bukan operasi penyangak. Hampir pasti juga ia diluluskan di luar GRU di peringkat tertinggi kerajaan Rusia,” kata May kepada Parlimen.

Skripal, seorang bekas pegawai GRU yang mengkhianati puluhan ejen kepada perkhidmatan perisikan asing British, MI6, ditemui bersama Yulia dalam keadaan tidak sedarkan diri di satu bangku awam di Salisbury, 4 Mac lepas.

Pihak berkuasa Rusia mengenalpasti suspek sebagai Alexander Petrov dan Ruslan Boshirov. Polis mengedarkan gambar CCTV mereka, menggambarkan misi 3 hari yang membawa mereka dari Moscow ke London ke Salisbury.

Mereka kemudian menyembur racun ke pintu Skripal sebelum terbang pulang ke Moscow beberapa jam kemudian.

Menteri luar negeri Rusia berkata nama yang diberikan Britain itu tidak bermakna apa-apa kepada Moscow, yang berulang kali menafikan pembabitan dalam serangan itu.

Britain dan puluhan negara lain mengusir puluhan diplomat Rusia disebabkan kejadian itu, dan Moscow membalas pengusiran itu dengan jumlah yang sama.

Kejadian itu memburukkan hubungan Rusia dengan Barat, yang sedia ada tegang kerana isu Ukraine, Syria dan lain-lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.