
Timbalan Pesuruhjaya Datuk Seri Azam Baki memohon mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang baki wang selebihnya untuk tampil memberi keterangan kepada SPRM.
“Kita menyeru pihak yang ada maklumat tentang wang diseleweng dan kalau boleh serahkan baki duit berkenaan. Saya janji beri jaminan perlindungan sebagai saksi,” katanya pada sidang media hari ini.
Semalam, pihak berkuasa menyerbu satu pangsapuri di Cyberjaya dan merampas wang serta barangan lain bernilai AS$6.3 juta, disyaki berkaitan kes salahguna kuasa bekas ketua pengarah Organisasi Risikan Luar Malaysia (MEI0), Datuk Hasanah Abdul Hamid.
Pada perkembangan lain, siasatan kes skandal dana 1MDB sudah 60% selesai sejak 3 bulan siasatan dijalankan.
Azam berkata dapatan bukti dalam negara sudah selesai manakala 40% siasatan lagi memerlukan bukti-bukti yang berada di luar negara.
“Ianya melibatkan banyak negara lagi,” katanya.
Azam berkata SPRM giat menyiasat kes berkenaan secepat mungkin dengan kerjasama wakil-wakil pihak berkuasa negara asing.
“Dengan kekuatan pegawai yang ada, kami akan menyiapkan siasatan dengan secepat mungkin dengan bantuan negara luar seperti Amerika Syarikat dan Singapura,” katanya.