
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata: “Kita dalam usaha mencapai kata sepakat untuk kepentingan kedua-dua pihak”.
Bagaimanapun, difahamkan setakat ini tiada “time frame” ditetapkan bagi melaksanakan cadangan pemansuhan tol.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018 di Persada PLUS di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi PLUS Malaysia Bhd, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.
Semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, kerajaan perlu mencari keputusan “menang-menang” dengan pemegang konsesi sebelum mengurangkan tol secara berperingkat.
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) konsisten melunaskan janji penghapusan tol secara berperingkat di seluruh negara dengan mengambil pertimbangan kedudukan kewangan negara.
Dalam perkembangan lain, Azman menjelaskan pihak PLUS sudahpun melakukan pemeriksaan di setiap plaza tol bagi memastikan ia berada dalam keadaan selamat.
“Selepas kejadian Plaza Tol Bukit Raja yang rosak akibat ribut, kita telah menjalankan pemeriksaan dan menambah baik tahap keselamatan di semua plaza tol.”
Terdahulu, menerusi kempen Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, PLUS mengadakan pelbagai aktiviti termasuk peraduan foto “Kenali Malaysia, Sayangi Malaysia”, pemakaian Reben Perpaduan, Kembara Sayangi Malaysiaku bersama personaliti radio serta pameran foto kemerdekaan di Galeri Jejantas Sungai Buloh.
“Sepanjang kempen ini juga, rakan niaga di semua kawasan rehat dan rawat PLUS akan menawarkan Menu Merdeka serta juadah istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di gerai masing-masing sehingga akhir September.”