
Jumaat lepas, seperti biasa, saya memandu ke pejabat menggunakan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) meskipun saya boleh menggunakan jalan pintas melalui Jalan Jelatek dan Keramat.
Saya sanggup membayar tol RM2.50 untuk laluan AKLEH kerana ini cara terbaik untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas yang sememangnya sinonim dengan Jalan Jelatek dan sekitar kawasan Keramat memandangkan ramai pemandu menggunakan laluan itu terutamanya pada waktu puncak.
Kalau hendak diikutkan tiada apa yang luar biasa sepanjang perjalanan dari rumah di Bukit Antarabangsa menuju ke pejabat yang terletak di Jalan Tun Razak. Keadaannya sama sahaja seperti hari-hari lain dengan kereta dan motosikal berbagai jenama seakan-akan berebut-rebut meluncur laju, sesetengah masih dengan tabiat buruk memotong melulu dan ‘melompat barisan’.
Namun sebaik sahaja saya memandu keluar daripada persimpangan AKLEH bersebelahan Flat PKNS Jalan Tun Razak, pandangan saya tertumpu kepada penunggang sebuah vespa berwarna kelabu, warga emas lelaki, mungkin umurnya sekitar 70an.
Bangga sungguh saya melihat ‘Atuk’ itu. Manakan tidak, beliau mengenakan pakaian kemeja unik Jalur Gemilang serta bersongkok istimewa.
Unik betul bajunya, rekaannya sangat berbeza dengan busana yang pernah saya lihat sebelum ini. Beberapa lakaran peta, bendera mahupun sebahagian nama penjajah dan pejuang negara tertera pada bajunya seolah-olah menceritakan sesuatu,
Secara spontan saya “mengejar” lelaki warga emas . “Boleh juga buat cerita untuk Hari Kebangsaan, ” bisik hati kecil saya. Namun, usaha saya tidak berhasil apabila terkandas dalam kesesakan lalu lintas berhadapan Hospital Kuala Lumpur (HKL). ‘Atuk’ itu pula dengan mudah menyelit antara kenderaan lain sekali gus meninggalkan saya jauh di belakang.
Semangat atuk
Biarpun sedikit kecewa kerana gagal mendapatkan atuk itu untuk ditemu ramah, namun semangat warga emas ini untuk meraikan Hari Kebangsaan begitu terkesan pada saya sehingga ke saat ini dan ia sewajarnya dijadikan contoh.
Ini kerana, busana patriotik seperti itu biasanya digayakan semasa sambutan 31 Ogos, iaitu tarikh keramat buat negara kita yang tercinta ini selepas berakhirnya episod penjajahan pihak Inggeris di Tanah Melayu.
Apa yang dilakukan warga emas itu jelas memaparkan jiwa patriotik yang menebal khususnya dalam kalangan warga emas. Di kala tidak ramai yang mahu mengibarkan bendera, berbeza pula dengan pakcik ini yang tidak malu untuk menggayakan busana tersebut di hadapan orang ramai lebih awal daripada tarikh sambutan Hari Kebangsaan.
Ini sekali gus jelas menunjukkan betapa besarnya semangat cintakan negara dalam dirinya dan sewajarnya sikap sebegini diteladani.
Tidak keterlaluan untuk menyatakan masih ramai yang tidak kisah untuk mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kebangsaan dan September sempena Hari Malaysia. Buktinya, kita sudah berada di penghujung bulan Ogos tetapi berapa banyak premis, jabatan mahupun kawasan perumahan yang sudah mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang?
Rasanya tidak salah untuk menyatakan masih ramai lagi yang belum tergerak hati mengibarkan Jalur Gemilang. Bilangan kenderaan memasang bendera juga dilihat tidak begitu memberangsangkan seolah-olah tiada apa yang istimewa berlaku pada bulan ini.
Cuti umum itu nanti lebih digunakan untuk bercuti atau balik kampung memandangkan tanggal 31 Ogos jatuh pada Jumaat!
Pupuk kesedaran
“Kita seharusnya mempunyai kesedaran mengenai kepentingan Hari Kebangsaan tambahan pula kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-61 pada 31 Ogos ini.
“Secara jujurnya, saya agak sedih melihat tidak ramai yang mengibarkan Jalur Gemilang di premis dan kereta masing-masing berbanding keghairahan mengibarkan bendera parti dan poster ketika kempen pilihan raya.
“Ia sedikit sebanyak menggambarkan kurangnya semangat patriotik dalam kalangan orang ramai,” kata aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye kepada Bernama.
Berbeza dengan sesetengah negara, rakyat mereka bukan sahaja berbangga dan menghormati bendera kebangsaan bahkan ada yang menganggap ia sebagai suatu yang suci misalnya di Thailand dan Indonesia.
Tanpa mengira pelbagai peringkat umur sama ada yang muda mahupun warga emas, mereka biasanya akan memasang gambar bendera bersama potret raja atau pemimpin tanpa paksaan dan tidak terhad ketika musim perayaan atau sambutan kemerdekaan semata-mata.
Bagaimanapun, tidak pada sebahagian besar masyarakat negara kita. Bayangkan selepas 61 tahun usia kemerdekaan, agak menyedihkan kerana masyarakat masih lagi perlu diingatkan mengenai kepentingan kibaran bendera setiap kali negara mahu menyambut Hari Kebangsaan.
Itu pun masih ada yang belum sedar, bersedia biarpun sudah pelbagai pengisian direncana seperti konvoi kembara, tayangan filem perjuangan serta kempen media sosial dan ini juga yang ditekankan menerusi video pendek bertajuk Harapan Merdeka.
Harapan Merdeka
Video berdurasi satu minit 40 saat itu membawa mesej Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa rakyat mengibarkan Jalur Gemilang bagi meraikan dan memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan.
Menerusi video itu, Dr Mahathir dilihat berbual dengan dua kanak-kanak lelaki dan perempuan dengan seorang daripadanya bertanyakan kenapa rakyat hari ini jarang mengibarkan Jalur Gemilang.
“Keadaan sudah berubah, mereka sudah hidup senang-lenang, dengan itu mereka percaya merdeka satu perkara biasa sahaja.
“Kalaulah semua orang di Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang di waktu kita merayakan hari kemerdekaan, Malaysia akan lebih meriah. Kibarkan Jalur Gemilang, sayangi Malaysiaku,” katanya.
Video yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi Jabatan Penerangan itu mendapat lebih 105 ribu tontonan dan 1.7 ribu perkongsian setakat ini (15 Ogos).
Mungkin ada yang mempersoalkan apalah ada pada Jalur Gemilang kerana banyak lagi kaedah boleh dilakukan untuk mempamerkan rasa cinta dan penghayatan kepada negara. Ada kebenarannya, tetapi bukankah mengibarkan bendera cara paling mudah untuk menzahirkan rasa cinta kepada tanah air, tambahan harga sehelai bukanlah mahal sangat.
“Mungkin sesetengah pihak terutamanya generasi muda, lebih selesa menggunakan media sosial untuk menzahirkan semangat patriotik mereka dan sudah tentu ia perlu digalakkan.
“Bagaimanapun masyarakat harus menerima hakikat, kita bukannya hidup di alam maya dan sebaiknya rasa cinta kepada negara ditunjukkan di alam nyata.
“Jalur Gemilang yang kita pamerkan di media sosial hanya akan berkibar di alam maya. Pastinya ia akan lebih memberikan impak jika kita turut sama mengibarkan bendera sebenar di premis dan kenderaan masing-masing,” kata Lee.
Ayuh kibarkan!
Tanggapan mengibar bendera hanyalah sekadar simbolik dan bukan keutamaan untuk menzahirkan rasa bangga dan sayangkan negara, perlu diubah. Ini kerana, ia bukanlah sekadar sehelai kain tetapi merupakan lambang kedaulatan dan identiti sesebuah negara.
Justeru, amalan kibar bendera penting bagi menunjukkan semangat patriotisme, sekali gus menyemarakkan lagi sambutan. Lagipun, apalah maknanya sambutan Hari Kebangsaan tanpa kibaran Jalur Gemilang secara meluas dan meriah.
“Cuba bayangkan perasaan kita ketika berjalan atau memandu di kawasan yang di sana sini kita boleh lihat Jalur Gemilang berkibar megah, tentu kita rasa bangga kerana dapat hidup di bumi bertuah yang aman damai ini.
“(Sebab itu) setiap tahun saya tidak pernah lupa untuk memasang bendera di halaman rumah di Taman Maluri. Sukar untuk digambarkan perasaan setiap kali saya menjenguk ke luar tingkap dan melihat bendera Malaysia berkibar megah,” kata Lee.
Ayuhlah rakyat Malaysia ! Masih berbaki beberapa hari lagi untuk kita mengambil inisiatif patriotik ini. Mari kita semarakkan semangat sayangkan tanah air dengan mengibarkan Jalur Gemilang!