
Katanya, kerajaan persekutuan tidak akan menggunakan struktur bajet lama, sebaliknya setiap kementerian akan menyenaraikan apa yang diperlukan mereka sahaja.
“Jangan guna struktur bajet lama, anda fikir apa yang anda mahu lakukan untuk tahun depan, kemudian senaraikan item itu dalam permintaan bajet.
“Ia lebih mencabar dan memerlukan lebih banyak kerja, tetapi kami berharap proses ini dapat mengelakkan masalah pembaziran,” katanya dalam majlis pelancaran laporan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) hari ini.
Pua mengingatkan semua kementerian tidak meniru bajet yang dibentangkan sebelum ini.
“Ia juga satu proses pembelajaran untuk semua kementerian, tetapi kami akan melakukannya walau dengan apa cara pun.
“Kami berharap proses ini akan membantu kami mengatasi masalah penyelewengan dan melakukan lebih baik untuk belanjawan akan datang.”
Laporan C4 sepanjang 44 muka surat itu memuatkan 17 cadangan untuk meningkatkan amalan dan perancangan pemerolehan di semua peringkat, daripada kerajaan persekutuan kepada negeri dan pihak berkuasa tempatan.
C4 mengesyorkan setiap agensi kerajaan memaparkan cara pemerolehan dan keputusan pemberian tender dalam laman web mereka, serta menubuhkan pasukan petugas untuk mengkaji semula dasar pemerolehan sedia ada dan menyiasat kes mendapat perhatian tinggi.
Sementara itu, Pua berkata, kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Kewangan akan meneruskan dasar memberi peluang dan meningkatkan kemahiran kontraktor Bumiputera.
Katanya, objektif itu sama dengan kerajaan terdahulu, tetapi berbeza dari segi pelaksanaan bagi memastikan kontraktor terbaik mendapat kontrak kerajaan tanpa wujud kronisme.