Putrajaya akan tubuh jawatankuasa kaji syarat beli hartanah Forest City

Putrajaya akan tubuh jawatankuasa kaji syarat beli hartanah Forest City

Zuraida Kamaruddin berkata, antara perkara yang akan dikaji ialah mekanisme penjualan hartanah dalam projek Forest City.

Free Malaysia Today
Zuraida Kamaruddin berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan, kerajaan Johor dan pemaju.
PUTRAJAYA:
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi mengkaji dan menyemak semula syarat pembelian hartanah di Forest City, susulan arahan perdana menteri tidak menjual unit kediaman dalam projek itu kepada orang asing.

Katanya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan beliau mempengerusikan jawatankuasa itu yang akan dianggotai kementeriannya, Kementerian Kewangan, kerajaan Johor dan pemaju.

“Mekanisme dia sekarang ini dia jual di China, bukan di Malaysia. Jadi, antara perkara yang kita nak lihat ialah mekanisme jualannya.

“Kita akan perhalusi (kenyataan Dr Mahathir itu) dan kita akan ‘engage’ dengan semua agensi terlibat dan juga pemaju. Kita akan cari jalan penyelesaian terbaik,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) di kementeriannya hari ini.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau tidak bersetuju dengan idea membina bandar bagi orang asing dan kerajaan tidak akan mengeluarkan visa kepada mereka untuk tinggal di Malaysia.

“Apa yang pasti adalah bandar itu yang akan dibina tidak boleh dijual kepada orang asing.

“Kita membantah kerana ia dibina bagi orang asing, bukan untuk rakyat Malaysia. Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu membeli apartmen itu.”

Projek Forest City bernilai AS$100 bilion yang dibina di 4 pulau buatan manusia di Selat Johor itu, dibangunkan pemaju hartanah China, Country Garden Pacificview Sdn Bhd.

Syarikat itu dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada Dr Mahathir berhubung pengumuman itu yang “mungkin tersasar daripada konteks dalam laporan media tertentu”.

Katanya, kenyataan itu tidak sama dengan hasil pertemuan perdana menteri dengan Pengerusi Country Garden Holdings, Yeung Kwok Keung pada 16 Ogos lalu.

Zuraida berkata, sehingga kini, kementeriannya belum menerima sebarang respons daripada pemaju Forest City berhubung larangan menjual hartanah itu kepada orang asing.

Beliau berharap pemaju Forest City mendapat “mesej” daripada pengumuman perdana menteri semalam.

Katanya, projek itu tidak kaitan dengan kementeriannya dan tidak termasuk dalam perancangan MPFN sejak dulu lagi.

“Setakat ini memang kita tak ada ‘engagement’ dengan projek Forest City ini…Untuk ‘approval that project’, ia tidak melalui perancangan MPFN.”

Pada 24 November 2017, Sultan Johor berkata, Forest City bukan sahaja mempunyai pelabur dari China, sebaliknya 40% pelabur adalah orang tempatan dan kerajaan negeri turut mempunyai saham.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, projek itu memberi banyak pendapatan kepada kerajaan negeri termasuk cukai pintu dan tanah, selain peluang pekerjaan, sistem pengangkutan dan perniagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.