9 panel hakim Mahkamah Persekutuan bersidang kali pertama

9 panel hakim Mahkamah Persekutuan bersidang kali pertama

Persidangan diketuai Richard Malanjum mendengar semakan perlembagaan berhubung pertelingkahan komersial antara JRI Resources Sdn Bhd dan Kuwait Finance House (M) Bhd.

Free Malaysia Today
Komposisi hakim paling ramai pernah mendengar kes di Mahkamah Persekutuan hanya 7 panel hakim, bagaimanapun ia amat jarang berlaku.
PUTRAJAYA:
Hari ini menyaksikan buat kali pertama 9 panel hakim Mahkamah Persekutuan bersidang berhubung kes membabitkan perlembagaan negara.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum mengetuai 9 panel hakim tersebut bagi mendengar semakan perlembagaan berhubung pertelingkahan komersial antara JRI Resources Sdn Bhd dan Kuwait Finance House (M) Bhd.

Tiga hakim kanan lain yang bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah.

Selain itu, 4 Hakim Mahkamah Persekutuan dan seorang Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Mohd Zawawi Salleh. Manakala Tan Sri Idrus Harus dibawa dari Mahkamah Rayuan seperti yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, komposisi hakim paling ramai pernah mendengar kes di Mahkamah Persekutuan hanya membabitkan panel 7 hakim, bagaimanapun ia amat jarang berlaku.

Antara kes yang pernah diputuskan panel 7 hakim Mahkamah Persekutuan ialah pada 23 Jun 2014 membabitkan permohonan gereja Katolik bagi mendapat kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan melarang penerbitan mingguan “The Herald” menggunakan kalimah Allah, dalam versi bahasa Melayu terbitannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.