8 tahanan Penjara P Pinang mogok lapar bantah Sosma

8 tahanan Penjara P Pinang mogok lapar bantah Sosma

Tahanan terbabit menderita penyakit kanser, HIV, diabetes, asma dan tekanan darah tinggi dan mereka juga enggan mengambil ubat.

Free Malaysia Today
Ahli keluarga tahanan Sosma bersama Presiden Malaysian Tamilar Kural, P David Marshel di luar penjara P Pinang hari ini.
GEORGE TOWN:
Lapan tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma di Pulau Pinang melakukan mogok lapar sejak semalam sebagai bantahan terhadap penahanan tanpa jaminan dalam akta tersebut.

Presiden Malaysian Tamilar Kural, P David Marshel, berkata 8 penghuni Penjara Pulau Pinang itu menderita penyakit kanser, HIV, diabetes, asma dan tekanan darah tinggi.

Beliau menambah tahanan itu kini diasingkan kerana mereka tidak sihat dan bergantung kepada ubat-ubatan.

“Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer bertemu mereka semalam untuk memujuk mereka menghentikan mogok lapar tetapi gagal.

“Mereka juga berhenti mengambil ubat mereka. Mereka memberitahu Rayer bahawa mereka lebih suka mati daripada terus menjadi tahanan.

“Apa yang mereka mahukan adalah diberi ikat jamin kerana mereka tidak sihat. Mereka juga menuntut keputusan muktamad berhubung pemansuhan Sosma,” kata ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai itu dalam sidang media di luar penjara hari ini.

David berkata, 8 penghuni itu yang berusia antara 30 dan 60 tahun, “ditahan” di penjara itu hampir setahun sementara menunggu tuduhan rasmi.

Setakat ini, katanya, pendakwa raya hanya membenarkan ikat jamin kepada 2 tahanan Sosma di Pulau Pinang, 1 untuk pembedahan pintasan jantung dan seorang lagi kerana menghidap kanser tahap 4.

Buat masa ini, katanya, beliau akan bertemu dengan warden penjara untuk membincangkan keadaan kesihatan tahanan.

Sosma dilihat sebagai pengganti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan pada 2012.

Kerajaan Barisan Nasional mempertahankan undang-undang itu, mengatakan ia perlu untuk mencegah pelampau, termasuk yang berkaitan IS.

Di bawah Sosma, seseorang boleh ditahan selama maksimum 28 hari dan polis boleh menangguhkan akses kepada keluarga dan peguam sehingga 48 jam selepas ditahan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.