
Garis panduan ini diterbitkan 3 hari selepas seorang wanita bukan Islam, Meiliana, 44, dikenakan hukuman 1 setengah tahun penjara oleh mahkamah daerah Medan kerana “penodaan agama” selepas mengadu tentang suara azan yang terlalu keras daripada masjid di depan rumahnya.
Dalam garis panduan itu, kementerian menyarankan pembesar suara harus digunakan oleh orang yang mahir bagi menghindari suara bising atau dengung yang dapat menimbulkan kebencian orang.
Selanjutnya kementerian menyarankan orang yang menggunakan pembesar suara harus memiliki “suara yang fasih, merdu dan enak, tidak terlalu tinggi, sumbang atau terlalu kecil”.
“Hal ini untuk menghindari anggapan orang luar tentang tidak tertibnya suatu masjid, bahkan jauh dari menimbulkan rasa cinta dan simpati orang mendengar, selain menjengkelkan,” katanya menurut laporan itu.
Perkara lain ialah suara doa, zikir dan solat tidak boleh terlalu tinggi; suara selain azan tidak disiarkan ketika orang mungkin sekali tidur, beristirahat atau dalam upacara; suara azan boleh tinggi tetapi mesti “enak, merdu dan syahdu”; dan bacaan Al-Quran boleh disiarkan 15 minit sebelum waktu solat tetapi bacaan solat dan kuliah hanya boleh menggunakan pembesar suara dalam masjid.
Kes Meiliana bermula pada 29 Julai 2016, apabila beliau mengadu kepada jirannya tentang suara azan yang keras daripada sebuah masjid di depan rumahnya.
Namun sekelompok masyarakat menuduh Meiliana menghina Islam dengan melarang azan, lalu timbulnya kekacauan dan kemuncaknya perosakan terhadap kuil-kuil Buddha.
Kumpulan masyarakat madani, peguam dan pertubuhan Islam, Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah mempersoalkan kewajaran pertuduhan terhadap wanita itu.