
“Apa sakit? Sudah lama ulang sini?”
“Saya punya knee (lutut) ada masalah. Kaki ada sakit juga.”
Kedengaran suara 2 lelaki saling bertegur sapa. Mereka berbual dalam Bahasa Malaysia ‘pasar’ tetapi masing-masing mempunyai loghat Tionghua.
Tertarik mendengarkan mereka, saya menoleh ke belakang kerana ingin melihat orang yang berbual itu. Nyata, kedua-duanya etnik Cina. Masing-masing dalam usia 60-an.
Mereka terhenti berbual seketika bila saya menoleh. Selepas saling berbalas senyuman, saya kembali pada kedudukan asal sambil melihat sekeliling manakala mereka terus berbual.
Begitulah keadaan di ruang menunggu di sebuah klinik fisioterapi di Hospital Kuala Lumpur setiap kali saya ke situ. Semestinya, pada pagi-pagi lain pun sama sahaja.
Seperti biasa, setiap 2 minggu sekali, saya akan sampai di ruang menunggu pendaftaran klinik itu pada kira-kira 7.30 pagi, untuk temu janji dengan ahli fisioterapi.
Selalunya, kerusi yang agak kebelakang dan paling tepi menjadi pilihan kerana dari situ, saya boleh melihat sekeliling.
Sambil menunggu, saya selalunya membaca sambil ‘menyibuk’ melihat dan mendengar para pesakit yang pelbagai bangsa saling berkongsi cerita, sedangkan hakikatnya mereka baru sahaja berkenalan.
Dalam kesibukan kakitangan hospital lalu-lalang di situ, kelihatan 2 wanita dalam usia 70-an baru sampai dan memilih kerusi di barisan hadapan saya. Seorang daripadanya memakai blaus dengan seluar panjang dan bertongkat manakala seorang lagi memakai jubah dan bertudung.
Sambil duduk, seseorang menyapa saya dengan memberi salam lalu bertanyakan khabar. Ketika melayan beberapa soalannya, beliau sedang menguruskan wanita yang seorang lagi.
Kedengaran mereka berbual mengenai keluarga masing-masing, mengenai anak dan cucu dan sesekali menoleh ke belakang untuk berbual dengan saya.
“Auntie ni kawan baik mak cik sejak sekolah. Mak cik jadi peneman waktu fisio sebab anak-anaknya sibuk,” jelas beliau mengenai sahabatnya yang berketurunan Serani itu sambil menyambung, anak wanita itu yang menghantar dan menjemput mereka setiap kali temu janji fisioterapi.
Ketika kami berbual, datang seorang wanita India lantas duduk selang satu kerusi di barisan sama tempat duduk saya.
“Adik pun ada sini. Hari tu ada sana,” katanya memandang ke arah saya lalu bertanyakan jika saya sudah mencuba resipinya.
Melihatkan kedua-dua wanita tadi agak kehairanan, saya pun memberitahu, “Kami pernah berjumpa di sesi fisioterapi di klinik yang satu lagi dan kakak ni ajar saya cara buat capati.”
Kami terus berbual dan kedua-dua wanita itu turut meminta resipi dan petua mengenai beberapa makanan seperti tose, vadei dan putu mayang.
Memang seronok bila ‘berkumpul’ begitu, walaupun berbeza etnik dan baru sahaja berkenalan, masing-masing mudah mesra. Kemesraan begitu juga yang sering saya lihat ketika membesar. Walaupun sudah terbiasa, saya tetap kagum!
Teringat ketika bersekolah, emak yang bekerja sebagai penoreh getah mempunyai ramai kawan termasuk kaum Cina dan India. Mereka sering makan beramai-ramai ketika waktu rehat dan bertukar-tukar mana-mana makanan yang boleh dikongsi. Paling seronoknya apabila perayaan Deepavali atau Tahun Baharu Cina, banyaklah kuih muih yang kami dapat.
Ya… itulah Malaysia. Di mana sahaja kita saling bertembung dengan kaum lain. Antaranya termasuklah ketika berurusan di pelbagai pejabat kerajaan dan swasta, Pusat-pusat Transformasi Bandar (UTC), gerai-gerai dan seumpamanya, klinik dan hospital, bank malah stesen-stesen pengangkutan awam, juga menjadi ‘tempat berkenalan’ rakyat yang berbilang kaum dan agama.
Dan…perkenalan spontan itu boleh ‘membawa’ mereka berbual mengenai bermacam-macam topik dari isu semasa, politik, keluarga dan semestinya, makanan.
Hakikatnya, perpaduan boleh dijalin di mana sahaja dan perpecahan juga boleh berlaku tanpa diduga. Ia tidak semestinya antara kaum malah sesama etnik dan agama.
Logiknya, tidak ada sesiapa yang mahukan perpecahan, pergaduhan apatah lagi peperangan, malah tidak ada agama yang menyokongnya, apatah lagi agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.
Islam mengajar erti keamanan, perpaduan serta kesaksamaan. Umat Islam diajar agar memahami dan menghormati amalan agama lain untuk mewujudkan keharmonian hidup bermasyarakat. Kita perlu sentiasa menghargai setiap titik pertemuan ke arah perpaduan dan elakkan perselisihan.
Perpaduan jugalah yang menjadi kunci kekuatan negara sejak zaman dahulu. Perlu diingat, ahli rombongan Rundingan Kemerdekaan terdiri daripada Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj, Abdul Razak Hussein (Tun), H.S Lee (Tun) dan T.H Tan (Tan Sri), Tan Cheng Lock (Tun), V.T Sambanthan (Tun) dan E.E.C Thuraisingham (Datuk Sir). Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman, pada 3 Jun 1957, sebaik sahaja pulang dari kota London mengumumkan 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Malaya juga menegaskan mengenai perpaduan.
Memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman: “Orang Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum yang hendak menumpukan taat setia dan tinggal bersama serta menumpu dan menumpahkan darah serta bekerja membanting tulang di negeri ini, tinggallah dengan baik antara satu dengan lain kerana negeri ini adalah berlainan dengan mana-mana negeri yang ada di dunia ini.”
Kita akan menyambut Hari Kebangsaan 2018 tidak lama lagi dan sewajarnya temanya “Sayangi Malaysiaku” menjadi peringatan kepada kita mengenai tanggungjawab terhadap bangsa dan negara tercinta.
“Sayangi Malaysiaku” menekankan kepentingan perpaduan dan semangat cintakan negara bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negara tanpa mengira perbezaan kaum, agama, bangsa dan fahaman.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2018.
(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Bernama.)