
Azmi Khalid mempengerusikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam pada 2010 ketika ia menyiasat percanggahan dalam akaun PTPTN, mengakui tabung itu mengalami kesukaran mengutip wang daripada peminjam.

“Ada pelajar yang membayarnya tapi tiada rekod siapa, baki yang perlu dibayar, tiada rekod lengkap,” kata Azmi, bekas menteri dalam negeri.
“Ini menyukarkan PTPTN mengutip wang,” katanya.
Beliau berkata kerajaan kemudian memaklumkan PAC bahawa sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan, Prokhas Sdn Bhd, dilantik untuk selesaikan masalah itu.
“Saya tak tahu adakah mereka sudah selesaikan masalah itu, tetapi jika benar apa yang Wan Saiful katakan, nampaknya isu itu masib belum selesai,” kata Azmi.
Wan Saiful baru-baru ini mendedahkan peristiwa-peristiwa salah urus yang mengejutkan dan beban hutang tinggi yang dialami PTPTN, salah satu agensi kerajaan yang disiasat kerajaan Pakatan Harapan seperti yang dijanjikan dalam 10 janji reformasi utama.
“Mereka sama sekali tak peduli tentang menjaga pangkalan data yang boleh diharap. Ini bermakna saya tak tahu pendapatan para peminjam. Apabila data ini hilang, macam mana kami nak tentukan peminjam mana yang boleh tangguh bayar atau sambung bayar? Jadi saya perlu kumpul data terlebih dahulu,” kata Wan Saiful.
Sementara itu, Wan Saiful membidas bekas menteri pendidikan tinggi Datuk Seri Idris Jusoh kerana mempertahankan pengurusan PTPTN bawah pentadbiran lepas.
Idris persoalkan janji PH iaitu membolehkan peminjam berpendapatan kurang RM4,000 sebulan menangguhkan bayaran balik pinjaman dalam usaha untuk menang pilihan raya.
Wan Saiful berkata kerajaan pimpinan Umno tidak berniat untuk mendapatkan balik hutang berbilion ringgit.
“Kalau mereka mahu kutip hutang PTPTN, mengapa langsung tak peduli kemaskini pangkalan data?” katanya.
“Selaku menteri pendidikan tinggi, sedarkah dia berapa besar hutang itu? Jika sedar, sedarkah dia hutang PTPTN kedua selepas kerugian 1MDB?”
Wan Saiful berkata begitu teruk situasi hutang di PTPTN hinggakan dia terpaksa meluluskan lebih banyak permintaan meminta suntikan wang daripada kerajaan.
“Dalam 1 minggu selepas masuk pejabat, says kena tandatangan dokumen membenarkan PTPTN meminjam RM3 bilion lagi supaya tak gulung tikar. Adakah itu namanya bertanggungjawab?”
Dilaporkan kira-kira 410,500 peminjam berhutang RM6.84 bilion kepada PTPTN tahun lepas.
Jumlah itu termasuk RM2.84 bilion dari peminjam yang langsung tidak pernah membayar 1 sen pun kepada PTPTN sejak tabung itu dimulakan pada 1997.