PH perlukan 41 tahun tunai semua janji pilihan raya?

PH perlukan 41 tahun tunai semua janji pilihan raya?

Ya, jika ia tidak bekerja lebih pantas, kata sebuah kumpulan pemantau.

Free Malaysia Today
Dennis Kim berkata, 25% sasaran berjaya dicapai sementara kerja ke arah 58.3% yang lain telah bermula. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan pemantau penunaian janji Pakatan Harapan (PH) membuat kiraan bahawa pakatan politik itu akan mengambil masa 41 tahun untuk menyempurnakan semua janji yang dibuat sekiranya ia tidak mempercepatkan langkahnya.

Bercakap kepada FMT, pengasas Harapan Tracker, Dennis Kim memberitahu, manifesto PH mengandungi lebih 500 janji dan kerajaan baru itu kini berjaya menunaikan satu janji setiap bulan.

“Kadar kemajuan ini perlu diperbaiki sekiranya PH mahu berjaya menunaikan janji yang lain,” katanya.

Bagaimanapun beliau memuji kerajaan kerana menunjukkan komitmen yang agak baik dalam usaha menunaikan 10 janji yang dibuat dalam tempoh 100 hari selepas mengambil alih kuasa.

Beliau berkata, 25% sasaran berjaya dicapai sementara kerja ke arah 58.3% yang lain telah bermula.

“Kami melihat kepada semangat janji yang dibuat,” katanya, dan menambah kumpulan beliau mahu berperanan sebagai penyedia “maklumat tidak berpihak” kepada orang ramai bagi membantu mereka membuat keputusan masing-masing.

Harapan Tracker yang beroperasi menggunakan laman Facebook, mendapat inspirasi daripada inisiatif TrumpTracker di Amerika Syarikat dan TrudeauMeter di Kanada.

Kam berkata, idea untuk menunaikan janji utama dalam tempoh 100 hari itu jelas merupakan gimik pilihan raya, dan menambah cita-cita mahu menyempurnakan semua janji yang dibuat itu terlalu besar, walaupun dalam tempoh 5 tahun.

“Bagaimanapun kita berasa lega kerana tidak ada lagi janji 100 hari itu dimungkiri dan kebanyakannya sedang dalam proses penunaian.”

Kerajaan telah memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), membenarkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menangguhkan bayaran balik pinjaman sehingga mereka mendapat gaji sebanyak RM4,000 sebulan dan membatalkan senarai hitam ke atas peminjam yang gagal membayar hutang, serta menstabilkan harga bahan bakar.

Bagaimanapun kata Kam, PH belum berjaya menunaikan janjinya mahu memperkenalkan subsidi petrol bersasaran.

Harapan Tracker memberi PH markah pencapaian 45% bagi penyampaian janji 100 harinya.

Kam berkata, kumpulan itu terdorong oleh demonstrasi kemahuan politik kerajaan untuk menunaikan janji yang dibuat dan sikap terbukanya mengenai perkara itu.

“Kami berharap kerajaan berjaya dalam agenda pembaharuannya,” kata beliau.

“Janji seperti penghapusan tol, meningkatkan gaji minimum, pengenalan skim penjagaan kesihatan nasional dan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah hanya akan bermanfaat dalam jangka panjang.”

Beliau berkata harapan Tracker akan terus memantau pencapaian kerajaan PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.