Kenapa ahli politik susah minta maaf, penganalisis tanya PH

Kenapa ahli politik susah minta maaf, penganalisis tanya PH

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tiada keperluan untuk kerjaan memohon maaf kerana gagal penuhi 10 janji 100 hari PH

Free Malaysia Today
Wong Chin Huat berkata, kerajaan PH mesti memohon maaf atas dasar rasa tanggunjawab kepada rakyat selepas berjaya mendapat mandat pada pilihan raya umum lalu.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik Wong Chin Huat bertanya kepada kerajaan persekutuan sama ada memohon maaf adalah satu perkara yang sukar dilakukan setelah timbalan perdana menteri berkata tiada keperluan untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) memohon maaf walaupun gagal memenuhi 10 janji pilihan rayanya dalam tempoh 100 hari pemerintahan.

Wong berkata, kerajaan PH mesti memohon maaf atas dasar rasa tanggunjawab kepada rakyat selepas berjaya mendapat mandat pada pilihan raya umum yang lalu.

“Kenapa susah sangat bagi ahli politik memohon maaf kepada rakyat? Saya yakin majoriti rakyat Malaysia akan memaafkan mereka dan bersedia melupakan kegagalan itu.

“Beberapa janji gagal ditunaikan disebabkan kekangan keadaan. Oleh itu kerajaan PH sepatutnya memohon maaf kepada rakyat atas dasar tanggungjawab dan rendah diri,” katanya ketika dihubungi FMT.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memberitahu pemberita di lobi Parlimen, tiada keperluan kerajaan PH meminta maaf kerana tidak dapat melaksanakan 10 janji pilihan raya yang dibuat pakatan politik itu dalam tempoh 100 hari pemerintahannya.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan telah berjaya melaksanakan 2 janji dalam manifesto pilihan raya umum mereka itu.

“Sekurang-kurangnya di kementerian, saya sudah buat skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah di bawah Program Sukarela Insentif (SURI). Itu saya sudah berjaya mempromosi dan jalankan program itu.

Sepuluh janji manifesto pilihan raya umum PH Mei lepas yang hendak dilaksanakan dalam tempoh 100 hari setelah mengambil alih kuasa termasuklah menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), mengembalikan subsidi bahan bakar secara bersasar, mengadakan skim caruman KWSP untuk suri rumah, menangguhkan pembayaran balik pinjaman pendidikan, menyamaratakan gaji minimum, menyiasat institusi terlibat skandal, menghapuskan hutang peneroka Felda, ngkaji semula projek mega, autonomi Sabah dan Sarawak dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Dalam pada itu Wong berkata, sudah tiba masanya kerajaan Malaysia membenarkan blok pembangkang mempunyai akses kepada maklumat kerajaan.

“Saya rasa perkara ini boleh diterima kerana mereka (PH) sebelum ini tidak mempunyai akses kepada maklumat kerajaan semasa menjadi pembangkang menyebabkan mereka gagal membuat dasar dan polisi yang mampu ditunaikan selepas mendapat kuasa.

“Apabila pembangkang mempunyai akses kepada maklumat kerajaan dan mendapat nasihat daripada golongan profesional dalam agensi berkaitan, ia memudahkan mereka menggubal dan merangka dasar seterusnya meminimumkan kelewatan dan ‘u-turn’ dalam usaha menunaikan janji selepas memiliki kuasa di peringkat pusat,” katanya.

Tambah beliau lagi, proses itu telah lama diamalkan di negara demokratik lain di seluruh dunia.

“Perkara ini sudah diamalkan oleh banyak negara, ia bagus bagi menjamin tiada janji tertangguh seperti pelaksanaan gaji minimum, subsidi bahan bakar dan penjagaan kesihatan untuk orang miskin,” jelasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.