Jangan ambil mudah kepentingan bersenam

Jangan ambil mudah kepentingan bersenam

Kegagalan melakukan gerakan fizikal bukan sahaja menjadikan anda lemah dan tidak bermaya malah berdepan pelbagai penyakit.

Pernahkah kita berasa sukar untuk memulakan sesuatu senaman, seolah senaman itu satu tugas yang memenatkan atau mencuri masa daripada jadual harian yang sibuk?

Ramai yang memberi alasan, “Sekarang saya sangat sibuk, mungkin selepas anak-anak saya membesar, saya akan bersenam”; “Selepas usia 40 tahun, saya akan bersenam”; “Saya tiada masa sekarang, saya kena kerja lebih 10 jam sehari,” dan sebagainya.

Ketahuilah, andalah yang sepatutnya memberi keutamaan untuk bersenam. Andalah yang sepatutnya meluangkan masa untuk bersenam lebih daripada mereka yang mempunyai masa untuk beriadah atau mereka yang mempunyai aktiviti hujung minggu bersama keluarga.

Tidak hairan, mereka yang bekerja pada satu-satu tempoh masa lama, tidak menghiraukan masa untuk bersama keluarga atau berehat, langsung tidak terlibat dalam aktiviti fizikal adalah golongan yang mudah berdepan dengan pelbagai isu kesihatan.

Kegagalan melakukan gerakan fizikal bukan sahaja menjadikan anda lemah dan tidak bermaya malah berdepan pelbagai penyakit.

Di bawah dinyatakan simptom atau kesan daripada kurangnya gerakan fizikal dan sebagai “amaran” untuk memulakannya pada kadar segera.

1. Cepat letih

Anda asyik berasa letih walaupun makan minum dan berehat secukupnya? Ini bermakna tubuh anda sedang “kelaparan” dan perlukan gerakan. Kajian University of Georgia mengesyorkan latihan selama 20 minit 3 kali seminggu supaya ia dapat meningkatkan tenaga sehingga 20%.

2. Tak boleh tidur

Jangan merungut kalau anda berdepan masalah tidur, sebaliknya mulakan senaman anda serta-merta. Kerana senaman memberikan anda tidur yang berkualiti. Bukan itu sahaja, ia juga memudahkan anda tidur dan bangun dengan bertenaga. Kajian yang diterbitkan oleh Journal of Medicine Sleep oleh penyelidik dari Northwestern University mendapati mereka yang mengamalkan senaman boleh tidur 1.25 jam lebih lama daripada mereka yang tidak terlibat dalam aktiviti fizikal.

2. Mudah diserang penyakit

Sesetengah kajian menghubungkan senaman harian ke atas sistem ketahanan badan. Pakar kecergasan Brandon Mentore berkata, seseorang perlu meningkatkan aktiviti fizikal untuk merangsang tisu otot bagi meningkatkan pertahanan badan. Mentore berkata, tubuh yang sakit adalah isyarat bagi seseorang untuk lebih aktif secara fizikal.

4. Badan kaku, keras

Pernahkan anda berasa kaku dan keras terutama sekali apabila ia melibatkan bahagian belakang, bahu dan pinggang? Ini bermakna anda perlu bergerak kerana kekurangannya menyebabkan otot dan sendi menjadi kaku. Pada awalnya anda mungkin berasa sakit kerana otot dan sendi anda baru sahaja menyesuaikan diri dengan gerakan fizikal.

5. Asyik lapar

Ramai orang berpendapat, jarang bergerak menjadikan seseorang tidak memerlukan banyak tenaga sekaligus mengurangkan keperluan untuk makan. Bagaimanapun, apabila badan tidak bergerak banyak, kelaparan berlaku dalam keadaan tersembunyi.
“Tubuh yang tidak bermaya dan kurang bergerak menyebabkan pengeluaran hormon ghrelin yang berlebihan dan menyebabkan anda makan berlebihan sepanjang hari,” kata pelatih peribadi, Amanda L Dale dalam majalah kesihatan Simple Most.

6. Ketidakseimbangan perasaan

Lazim sangat bagi wanita berdepan ‘mood swing’ sebelum fasa haid. Tetapi keadaan itu jarang berlaku dalam kalangan mereka yang bersenam. Ini bermakna ketidakseimbangan perasaan yang dipengaruhi hormon dapat diperbetulkan. Senaman juga mengurangkan kemurungan dan mengawal emosi yang berlebihan. “Jika anda berasa sedih, marah atau takut dan tidak tahu mengapa, kekurangan latihan mungkin jawapannya,” tambah Amanda.

7. Masalah gangguan pencernaan

Masalah sembelit juga dikatakan disebabkan oleh kekurangan senaman. Latihan ini penting dalam merangsang usus dan mengepam sistem pencernaan dalam tubuh sehingga ‘lebihan’ dikeluarkan sekaligus mengelakkan sembelit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.