Dr M akui pemimpin PH masih ada sifat pembangkang

Dr M akui pemimpin PH masih ada sifat pembangkang

Perdana menteri berkata, anggota Kabinetnya sudah menyesuaikan diri selepas sedar diri menjadi pemerintah.

Free Malaysia Today
Dr Mahathir Mohamad berkata, dengan memberi latihan sewajarnya kepada generasi muda lebih awal, suasana janggal yang dihadapi PH selepas 9 Mei lalu dapat dielakkan.
PUTRAJAYA:
Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pemimpin Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai sifat pembangkang selepas mencapai kemenangan mengejut pada pilihan raya umum ke-14, Mei lalu.

Perdana menteri berkata, anggota Kabinetnya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri kerana mereka tidak pernah menjadi parti pemerintah selama 61 tahun negara mencapai kemerdekaan.

“Baru-baru ini, perubahan kerajaan berlaku selepas 61 tahun. Pembangkang tak dapat jadi pembangkang, apabila jadi kerajaan, sifat pembangkang masih ada dan mempengaruhi fikiran mereka.

“Tapi mereka sudah buat ‘adjustment’. Mereka sedar mereka sudah jadi pemerintah.

“Tapi kalau jadi pemerintah, kita tak boleh jadi macam pembangkang dan sebaliknya kalau kita jadi kerajaan, kita kena berlagak macam pemerintah,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan 60 Felo Perdana 2018 di Perdana Putra, hari ini.

Dr Mahathir berkata, dengan memberi latihan sewajarnya kepada generasi muda lebih awal, suasana janggal seperti yang dihadapi PH selepas berjaya menawan Putrajaya pada 9 Mei lalu dapat dielakkan.

Beliau berharap latihan di bawah program Felo Perdana dapat melahirkan pemimpin muda seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dilantik menjadi menteri pada usia 25 tahun.

“Mana tahu akan lahir seorang lagi menteri muda daripada program ini tidak lama lagi, sebagaimana menteri belia dan sukan yang hari ini ialah alumni daripada program Felo Perdana.

“Bila terlalu muda jadi menteri, sampai tua tak nak berhenti,” katanya berseloroh tanpa menyebut nama pemimpin yang enggan melepaskan jawatan selepas lama berkuasa.

Katanya, program Felo Perdana yang memasuki tahun ke-6 itu terbukti sangat berguna dan mencerminkan komitmen kerajaan dalam menghargai peranan generasi milenium sebagai asas bakat sumber manusia negara.

“Konsep Felo Perdana, apa yang saya faham yang tua mesti berundur diganti dengan yang muda supaya orang baru dapat manfaat dan mengikuti tunjuk ajar dari yang lama bagaimana cara mentadbir negara supaya kita bersedia untuk masa depan.”

Terdahulu, Dr Mahathir menyerahkan 60 Felo Perdana 2018 yang akan menjadi pembantu eksekutif atau pelatih di kementerian selama 6 minggu hingga 3 bulan.

Kementerian Belia dan Sukan menerima 347 permohonan daripada graduan tempatan dan 168 permohonan daripada graduan yang menuntut di luar negara.

Felo Perdana yang diwujudkan pada 2013 berjaya melahirkan 400 pemimpin muda sehingga kini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.