Ali Hamsa akan bersara 29 Ogos?

Ali Hamsa akan bersara 29 Ogos?

Sumber daripada Jabatan Perkhidmatan Awam berkata, kontraknya tidak akan diperbaharui.

Free Malaysia Today
Ali Hamsa dilantik sebagai ketua setiausaha negara pada 2012. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dijangka bersara pada 29 Ogos ini selepas memegang jawatan itu selama 6 tahun, menurut sumber daripada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Sumber itu turut memberitahu FMT yang kontrak Ali tidak akan diperbaharui, walaupun ada beberapa pihak yang berharap kontraknya akan dilanjutkan.

Menurutnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin melihat beberapa calon yang dicadangkan untuk mengambil alih jawatan itu.

Ali ketika dihubungi enggan mengesahkan persaraannya.

“Tiada komen,” katanya.

Ali, 63, dilantik sebagai ketua setiausaha negara pada 2012. Beliau antara penjawat awam tertinggi yang dikekalkan kerajaan baru selepas pilihan raya umum Mei lalu.

Ketua setiausaha ialah ketua perkhidmatan awam, selepas perdana menteri, timbalan perdana menteri dan anggota Kabinet.

Yang di-Pertuan Agong akan memberi perkenan terhadap pelantikan seseorang calon berdasarkan nasihat perdana menteri.

Kumpulan bekas penjawat awam, G25, baru-baru ini menggesa Ali berundur susulan kritikan beberapa pihak, termasuk Dr Mahathir yang berkata, beliau mewarisi kerajaan dengan pegawai tertingginya rasuah.

Kumpulan itu berkata, kenyataan Dr Mahathir dan kritikan pihak lain mengenai sikap pegawai tertinggi menjejaskan imej perkhidmatan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.