Pendidikan seks bantu kekang kahwin bawah umur, kata Wan Azizah

Pendidikan seks bantu kekang kahwin bawah umur, kata Wan Azizah

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu mahu mengetengahkan pendidikan reproduktif kepada kanak-kanak dan ibu bapa mereka.

Free Malaysia Today
Wan Azizah Wan Ismail berkata perkahwinan bawah umur berlaku dari latar belakang keluarga berpendidikan dan berpendapatan rendah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menaikkan had umur perkahwinan kanak-kanak kepada 18 tahun bukan satu-satunya penyelesaian bagi menghalang perkahwinan bawah umur di negara ini, kata menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, cara lain yang boleh dilakukan bagi mengekang perkahwinan bawah umur adalah melalui pendidikan seks kepada kanak-kanak itu sendiri dan ibu bapanya.

“Pendidikan seks memang ada kelompongannya, kita hendak kata pendidikan reproduktif adalah yang kita boleh ketengahkan dan boleh mengekang masalah yang berlaku, kita akan usahakan secepat mungkin,” katanya sewaktu sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Azizah berkata, pihaknya juga dalam usaha bagi mempercepatkan proses meminda undang-undang dan menyelaraskan undang-undang di setiap negeri agar had umur minimum perkahwinan adalah di usia 18 tahun.

“Kita ada rundingan, pada 2013 hingga 2017 statistik dari Jabatan Kehakiman Syariah memang ada trend menurun, namun antara negeri yang mencatatkan statistik tertinggi adalah Sarawak, Sabah dan Kelantan.

“Kita hendak adakan rundingan secepat mungkin kerana adat di Sabah dan Sarawak itu lain sikit, undang-undang negeri ini mesti diselaraskan,” katanya.

Beliau menjelaskan antara 2013 hingga 2017, rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi pasangan Islam yang memohon perkahwinan bawah umur mencatatkan sebanyak 5,362 kes.

“Manakala dalam pasangan bukan Islam, rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi perkahwinan bawah umur 18 tahun mencatatkan sebanyak 2,357 kes bagi tempoh yang sama,” katanya.

Wan Azizah berkata, antara ciri perkahwinan bawah umur di negara ini adalah mereka dari latar belakang keluarga yang bukan sahaja berpendidikan rendah tapi juga berpendapatan rendah.

“Kerajaan akan pastikan kerjasama erat antara agensi berkaitan untuk membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf pendidikan dan taraf hidup komuniti luar bandar.

“Bahkan memberi peluang pemerkasaan ekonomi untuk memastikan keluarga tidak memilih mengahwinkan anak-anak mereka bagi meringankan beban keluarga.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.