Dewan Rakyat lulus usul mansuh Akta Anti-berita Tidak Benar

Dewan Rakyat lulus usul mansuh Akta Anti-berita Tidak Benar

Sesi perbahasan mengenai pemansuhan akta itu berlangsung kira-kira 3 jam setengah.

KUALA LUMPUR:
Pemansuhan Akta Anti-berita Tidak Benar 2018 diluluskan melalui undian suara pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat, selepas perbahasan selama 3 jam setengah.

“Ahli-ahli yang bersetuju katakan setuju, yang tidak setuju katakan tidak. Lebih suara bersetuju,” kata Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Keadaan itu berbeza dengan pengenalan akta itu oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu yang memperuntukkan 2 hari untuk dibahaskan sebelum diluluskan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin ketika menyampaikan ucapan penggulungan berkata, akta itu tidak diperlukan kerana ada undang-undang lain yang mencukupi untuk mengekang penyebaran berita palsu.

Hanipa (PH-Sepang) memberi contoh Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan akta sivil lain yang boleh digunakan untuk memerangi berita palsu.

“Apabila gubal banyak undang-undang, ia bukannya perkara baik. Ia menyebabkan pihak berkuasa banyak kerja dan kos kerajaan semakin bertambah.

“Kalau nak jimatkan perbelanjaan kerajaan, kita tidak perlu banyak undang-undang, sebab itu BN bawa usul ini untuk mereka gunakan Parlimen untuk selesaikan masalah, undang-undang ini bukannya melindungi rakyat, tetapi mereka.”

Akta Anti-berita Tidak Benar berkuatkuasa mulai 12 April lalu, selepas mendapat kelulusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, akta itu berpaksikan rakyat dan bertujuan melindungi orang awam daripada penyebaran berita palsu.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 6 tahun dan denda sehingga RM500,000. Jika kesalahan berterusan selepas sabitan terdahulu, denda selanjutnya ialah RM3,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.

Akta itu mentafsirkan berita tidak benar sebagai sebarang berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau bentuk lain.

Akta itu turut membabitkan sebarang berita tidak benar dikaitkan dengan Malaysia atau rakyat Malaysia.

Individu atau mana-mana pihak yang menyiarkan berita tidak benar, walaupun kesalahan itu dilakukan di luar negara dan bukan dilakukan rakyat Malaysia, tindakan juga boleh diambil di bawah akta itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.