Azmin: Lanjut khidmat Majlis Penasihat bukan kerana Kabinet tak berkesan

Azmin: Lanjut khidmat Majlis Penasihat bukan kerana Kabinet tak berkesan

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata, Majlis Penasihat Kerajaan dilanjutkan selepas 100 hari pentadbiran PH kerana khidmat mereka masih diperlukan.

Free Malaysia Today
Azmin Ali berkata, anggota CEP sedang meneliti pelbagai usul dan cadangan daripada pelbagai pihak sebelum dibawa kepada Kabinet untuk dibincang serta diputuskan.
KUALA LUMPUR:
Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) tidak dibubarkan selepas 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) disebabkan perkhidmatan mereka masih diperlukan, bukannya kerana Kabinet pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad gagal menjalankan tugas dengan berkesan, kata Datuk Seri Azmin Ali.

“Anda kena faham peranan CEP. Mereka sedang meneliti pelbagai usul dan cadangan daripada pelbagai pihak kepada kerajaan.

“CEP pula akan meneliti dan mengkaji semua cadangan itu dan sebarang perkara yang mereka putuskan akan dibawa kepada Kabinet untuk dibincang serta diputuskan.

“Bukan sebabnya kita (Kabinet) tidak berkesan. Kita sangat berkesan,” kata menteri hal ehwal ekonomi itu di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan perdana menteri yang menafikan khabar angin CEP akan dibubarkan hujung minggu ini selepas 100 hari pentadbiran PH.

Dr Mahathir berkata, khidmat CEP tidak hanya terikat kepada tempoh itu kerana mereka masih diperlukan untuk membantu kerajaan menyelesaikan pelbagai perkara.

CEP ditubuhkan 12 Mei lalu, iaitu 2 hari selepas PH berjaya menumbangkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.