
Menurut Benah, 51, berdasarkan perbualan telefon dari penjara, Siti Aishah memberitahu dia dan wanita Vietnam, Doan Thi Huong ditipu kerana diminta mengambil bahagian dalam rancangan realiti TV.
“Dia memberitahu saya, ‘ibu semua kejadian ini dirancang, saya ditipu’,” katanya memetik laporan The Guardian.
Bagaimanapun peguam mewakili anaknya berkata, mereka dibayar untuk mengambil bahagian dalam ‘prank’ yang sama di lapangan terbang, hotel dan pusat membeli-belah pada hari-hari sebelum kematian Kim.
Siti dan Doan dituduh membunuh Jong Nam, iaitu abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dengan menyapukan agen saraf VX di muka mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari 2017.
Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Siti dalam rakaman percakapannya menyatakan dia diminta menyapu losyen ke muka mangsa dari arah belakang dan segera meninggalkan lokasi dan dilakonkan di klia2.
Dia turut memuat naik posting di Facebooknya berbunyi: “last day ‘shooting’ mudah-mudahan dikasi kepercayaan lagi, diperpanjang lagi kontraknya, walaupun badan lelah tetap semangat”.
Menurut Benah, pada awalnya, dia pernah beberapa kali berpura-pura tidak mengenali anak perempuannya kerana tidak dapat menerima hakikat apa yang menimpa anaknya.
Katanya, pernah suatu hari ketika berjumpa doktor di bandar, penyambut tetamu mengecam nama kampungnya yang dikenali “Rancasumur”, sebuah kampung terpencil di kepulauan Jawa, yang menjadi tajuk berita mengenai pembunuhan Jong Nam.
“Berapa jauh rumah kamu dari rumah Siti?” tanya penyambut tetamu itu, berdasarkan berita yang ditontonnya.
“Oh, jauh. Saya tidak mengenalinya.” kata Benah.
Tetapi, katanya, apabila berada di rumah yang jauh dari gosip jiran tetangga, dia tidak dapat melelapkan mata.
Katanya, tuduhan Siti terlibat dalam pembunuhan Jong Nam terlalu mengerikan dan di luar realiti.
Laporan juga memetik peguam Siti, Gooi Soon Seng, berkata dia yakin Siti akan dibebaskan berdasarkan bukti keterangannya.
Soon Seng berkata tidak ada saksi yang menyaksikan anak guamnya menyerang Jong Nam, rakaman CCTV juga tidak menunjukkan dia berbuat demikian, dan tiada kesan agen saraf VX yang ditemui pada dirinya.
“Selepas peristiwa itu, Siti tidak pergi ke tandas untuk mencuci tangannya, atau cuba meninggalkan negara itu. Sebaliknya dia pergi membeli-belah, dan kemudian bekerja.”