Rundingan semula ECRL belum muktamad, kata Guan Eng

Rundingan semula ECRL belum muktamad, kata Guan Eng

Lim Guan Eng berkata, jika projek ECRL tidak ditangguhkan, kerajaan perlu menanggung kos operasi RM600 juta sehingga RM1 bilion setahun.

Free Malaysia Today
Lim Guan Eng berkata, kos keseluruhan ECRL ialah RM80.92 bilion selepas mengambil kira kos pengambilalihan tanah, faedah, yuran dan kos operasi. (Gambar Youtube)
KUALA LUMPUR:
Malaysia dan China belum memutuskan sama ada akan meneruskan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang ditangguhkan kerana rundingan semula masih dijalankan, kata menteri kewangan.

Lim Guan Eng berkata, hubungan Malaysia dan Beijing semakin “rapat” selepas lawatan Tun Daim Zainuddin ke negara itu Julai lalu bagi membincangkan projek ECRL.

“Rundingan masih berjalan, sungguhpun belum capai titik muafakat yang dipersetujui semua pihak, selepas dapat maklumat dari semua pihak, termasuk Daim sebagai duta khas perdana menteri, memang kedudukan rapat sikit.

“Tetapi, usaha ataupun niat kerajaan persekutuan adalah kurangkan beban hutang ini dan mempersoalkan daya maju dan kelayakan projek ini,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Thomas Su (PH-Ipoh Timur) yang bertanyakan perkembangan terkini rundingan semula projek ECRL antara Putrajaya dan Beijing.

Pada 4 Julai lalu, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd mengesahkan pihaknya menerima notis tangguh semua kerja membina ECRL daripada pemilik projek Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Syarikat itu “susah hati” dan kesal “penangguhan dikenakan sekarang selepas banyak kerja sudah dijalankan dengan baik”. Ia berharap kedua-dua pihak boleh mencapai situasi menang-menang.

Lim berkata, jika projek ECRL tidak ditangguhkan, kerajaan perlu menanggung kos operasi RM600 juta sehingga RM1 bilion setahun.

“Sebab itu perkara ini suatu isu yang besar dan jelas sekali projek ini mesti dikaji semula, projek ini memang projek mega, tetapi ia juga menimbulkan mega hutang.”

Katanya, kos asas pembinaan projek sepanjang 688.3km itu berjumlah RM66.78 bilion, tetapi perincian kos mendapati jumlah keseluruhan kos ialah RM80.92 bilion selepas mengambil kira kos pengambilalihan tanah, faedah, yuran dan kos operasi.

“Kerajaan persekutuan menerusi anak syarikat operasi miliknya, MRL telah membayar RM19.68 bilion terdiri daripada bayaran pendahuluan RM10 bilion, bayaran kemajuan RM9.67 bilion.

“Ia satu jumlah yang besar, jika notis menggantung kerja tidak dilakukan, maka kos bayaran akan menjadi lebih besar lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.