Makan guna tangan lebih sihat

Makan guna tangan lebih sihat

Makan guna tangan ada banyak manfaatnya tetapi sebelum itu, pastikan tangan anda dicuci dengan bersih.

Dari zaman dahulu kala lagi, masyarakat Melayu dan India makan menggunakan tangan mereka. Tetapi, mungkin kerana peredaran masa, maka amalan makan dengan tangan tidak lagi diamalkan oleh generasi moden, khususnya yang tinggal di kawasan bandar. Mereka lebih suka menggunakan sudu dan garfu berbanding makan dengan tangan.

Ini bukan sebab terlupa asal-usul. Sebaliknya, perkara ini berlaku kerana mereka merasakan lebih mudah untuk menggunakan sudu dan garpu kerana mereka tidak perlu mencuci tangan di samping tidak merenyahkan mereka untuk mencari air mencuci.

Selain itu, terdapat pendapat makan dengan sudu garpu adalah lebih bersih berbanding tangan kerana kita masih ada kuman yang terlekat pada tangan walaupun sudah dicuci.

Persoalan yang timbul sekarang ini ialah adakah ini semua berlaku akibat pengaruh Barat ataupun sekadar kesan daripada arus modenisasi? Jawapannya mudah saja, anda tidak didedahkan dengan manfaat teknik makan ini.

Kenapa makan guna tangan lebih baik?

Pasti ada sebab yang munasabah masyarakat Melayu dan India dahulu kala makan dengan tangan. Tidak mungkin kita masih mengamalkan amalan tersebut jika amalan itu dianggap sebagai kolot dan tidak bertamadun. Memang betul! Makanan dengan tangan terbukti memberi kebaikan dan manfaat tersendiri. Bukan setakat satu, malah ada 4 kebaikan yang disenaraikan di bawah:

1. Naluri

Makan dengan tangan merupakan sesuatu yang datang dengan naluri. Penggunaan sudu dan garfu merupakan alatan yang dicipta untuk menandakan ketamadunan manusia sejajar dengan peredaran masa. Namun begitu, makan dengan tangan tidak semestinya menandakan hal tersebut.

Banyak tamadun-tamadun besar dalam sejarah adalah di Asia dan kebanyakan daripada tamadun tersebut mengamalkan makan dengan tangan. Lagipun, makanan terasa lebih enak dan sedap dimakan apabila makan dengan tangan.

2. Meningkatkan penghadaman

Makan dengan tangan bagai memberikan penanda pada perut anda iaitu rasa lapar yang menggigit anda akan hilang selepas ini. Tangan merupakan sambungan luaran untuk sistem penghadaman anda. Jutaan saraf di hujung jari anda akan menghantar pesanan anda akan makan termasuklah memberitahu maklumat mengenai suhu makanan, tahap kepedasan dan sebagainya supaya perut anda bersiap sedia menerima makanan tersebut. Selain itu, enzim pada tangan akan membantu dalam penghadaman perut anda.

3. Lebih peka

Kebanyakan pakar menyatakan kepentingan untuk bertenang dan hadirkan diri semasa waktu makan. Jika anda makan dalam keadaan yang tenang, proses penghadaman anda dapat dioptimumkan dan membantu anda daripada makan secara berlebihan.

Anda pasti pernah berada dalam situasi yang mana anda sedang makan sambil menonton TV, anda makan 3 pinggan nasi pun rasa tak kenyang. Luangkan masa intim bersama makanan anda dan rasa lebih terhubung dengan makanan anda apabila makan dengan tangan.

4. Menggunakan kesemua deria

Terdapat pendapat yang mengatakan makanan perlu dinikmati dengan semua deria kita dan bukan sekadar untuk mengenyangkan perut. Ada kebenaran pada kata-kata tersebut. Dengan bau makanan, rasa dan tekstur makanan yang anda makan, anda akan lebih menghargai dan menikmati makanan anda.

Artikel ini diterbitkan dalam http://www.butterkicap.com/author/butterkicap-team/page/21

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.