Aktivis nilai 100 hari pertama kerajaan PH

Aktivis nilai 100 hari pertama kerajaan PH

Kebebasan media lebih baik tetapi kerajaan perlu melakukan lebih lagi, kata para aktivis.

KUALA LUMPUR:
Aktivis memaklumi beberapa langkah bagus yang diambil Pakatan Harapan (PH) dalam 100 hari pertama berkuasa, tetapi kerajaan perlu melakukan lebih lagi dalam soal hak asasi manusia, kebebasan media dan reformasi pilihan raya.
Free Malaysia Today
Dobby Chew

Di pembentangan kad laporan 100 hari pertama kerajaan PH oleh Suaram di Dewan Himpunan Kuala Lumpur-Selangor hari ini, penyelaras projek Dobby Chew berkata kebebasan media lebih baik bawah pentadbiran sekarang dan tiada media disenaraihitamkan.

Beliau berkata kini akses pihak berkepentingan ke Parlimen lebih mudah tanpa perlu ditemani seorang wakil rakyat, seperti yang berlaku bawah pentadbiran lepas.

Bagaimanapun, beliau berkaa ada isu lebih besar yang perlu ditangani, dan berkata PH memasukkan banyak komitmen dalam manifesto tanpa pelan tindakan yang jelas.

“Kita ambil Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) sebagai contoh. PH kata ia akan mereformasikan perkara itu tetapi mana garis masanya? Adakah ia akan dilakukan dalam tempoh 6 bulan atau 1 tahun?

“Dan apakah pendirian kita tentang penahanan juvana? Jika mereka berusia 17 tahun dan ditahan, penting untuk kita persiapkan mereka untuk kembali ke masyarakat dalam tempoh 4 tahun seterusnya. Sehingga kini Kementerian Dalam Negeri belum bercakap mengenai perkara itu.”

Beliau berkata menteri di bulan pertama bolehlah memberi alasan mereka perlukan masa kerana baru sahaja mengambil alih daripada pentadbiran lepas. Tetapi dalam tempoh 3 bulan, mereka sepatutnya sudah mempunyai pelan tindakan masa depan, katanya.

Beliau berkata walaupun reformasi perlukan masa, kerajaan boleh isytiharkan moratorium ke atas beberapa undang-undang yang menindas atau yang menyalahi hak asasi manusia seperti Akta Hasutan 1948 dan hukuman mati.

“Tangkapan seterusnya bukan di tangan Barisan Nasional tetapi di tangan PH. Beritahu kami mengapa moratorium tidak boleh diisytiharkan. Jika boleh, sila laksanakan.”

Free Malaysia Today
V Gayathry.

Sementara itu, pakar media, V Gayathry memuji kerajaan kerana mengambil langkah memansuhkan Akta Berita Tidak Benar 2018 dan memberikan komitmen kepada merangka Akta Kebebasan Maklumat.

Pensyarah Universiti Nottingham itu berkata ia langkah yang bagus dan para menteri nampaknya lebih terbuka.

“Tetapi keterbukaan ini tidak terjamin, dan kita tidak akan dapat media yang bebas tanpa perubahan sebenar, terutamanya seperti memansuhkan CMA, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) dan Akta Hasutan.”

Pemangku pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata kumpulan masyarakat madani mesti berpegang pada ketinggian moral dan terus menegur kerajaan.

Free Malaysia Today
Shahrul Aman Mohd Saari.

“Keutamaan kami ialah mengubah kepimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Pesuruhjaya baru diperlukan bagi memastikan reformasi yang holistik dan bermakna.

“SPR menunjukkan sikap yang mesra selepas 9 Mei. Dulu bukan senang nak masuk pejabat atau bertemu pesuruhjaya mereka tetapi sekarang kami diminta sertai mesyuarat, menjadi pemerhati dan sebagainya. Namun siapa yang akan bertanggungjawab atas isu-isu pilihan raya dulu?”

Beliau berkata kerajaan mesti desak pesuruhjaya pilihan raya sekarang disingkirkan bagi membuka laluan kepada reformasi kerana sekarang ini hanya Agong yang boleh menyingkir mereka.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.