Aktivis bidas dolak-dalik 100 hari PH

Aktivis bidas dolak-dalik 100 hari PH

Kua Kia Soong berkata Putrajaya nampaknya lebih berminat menyalahkan orang lain daripada bekerja.

KUALA LUMPUR:
Seorang aktivis terkenal menuduh kerajaan Pakatan Harapan berdolak-dalik dalam beberapa isu, beberapa hari sebelum pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad meraikan 100 hari pertama memegang kuasa.

Kua Kia Soong mengambil contoh Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan berkata mengapa PH mengambil masa 5 tahun untuk mengiktirafnya sedangkan manifesto gabungan itu menyatakan mereka sudah bersedia untuk menerimanya.

Isu lain yang ditimbulkan ialah royalti minyak yang dijanjikan kepada Malaysia Timur dan penghapusan tol jalan raya.

Dr Mahathir pada Julai memberitahu Parlimen bahawa pentadbirannya akan memenuhi janji memberikan royalti 20% kepada negeri-negeri pengeluar minyak.

Perdana menteri kemudian menjelaskan bayaran 20% itu berdasarkan kepada keuntungan dan bukannya royalti.

Penasihat Suaram itu juga tidak boleh menerima pilihan raya tempatan hanya akan diadakan selepas 3 tahun.

“Menangguh-nangguhkan reformasi itu tindakan yang tidak boleh diterima. Satu reformasi penting yang kita mahu lihat adalah berkenaan pengagihan kemewahan negara,” tambahnya.

Kua bercakap demikian di pembentangan laporan 100 hari pertama kerajaan Pakatan Harapan oleh Suaram.

Beliau berkata selepas pilihan raya Putrajaya nampaknya lebih berminat menyalahkan orang lain daripada bekerja.

“Kita baca berita tentang wang GST yang hilang tapi apa tindakan susulan? Sudahkah polis atau peguam negara bertindak? Sepatutnya kita diberitahu apa jadi pada wang itu dalam masa 1 minggu,” katanya.

Beliau juga tidak berpuas hati dengan Tabung Harapan Malaysia, dana yang diwujudkan untuk membantu negara melangsaikan hutang RM1 trilion.

Kua berkata dia tidak boleh terima “cerita-cerita sedih” dalam inisiatif itu.

“Ia mengenai pengurusan ekonomi untuk menutup ketirisan, bukan wang simpanan kanak-kanak,” katanya, merujuk kepada kisah seorang budak menderma simpanannya kepada tabung itu.

Mengenai kempen membanteras kleptokrasi, Kua tertanya mengapa kerajaan belum menyiasat bekas ketua menteri Sarawak, Tun Taib Mahmud, yang pernah dituduh korup.

“Dan mengapa Dr Mahathir dan anak-anaknya belum mengisytiharkan aset?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.