
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata nama Wong dicadangkan pemimpin DAP Selangor disebabkan kerjanya di peringkat akar umbi.
“Beliau turut membantu kami dalam menghasilkan bahan kempen untuk pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum 9 Mei lalu.
“Selain itu, kami mahu memberi peluang kepada ahli wanita untuk menjadi calon,” katanya selepas membuat pengumuman itu di ibu pejabat DAP, hari ini.
Sebelum ini, timbul spekulasi mengatakan bekas hos televisyen, Yunna Tan sebagai pilihan utama DAP untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri itu.
Bagaimanapun, pemimpin akar umbi DAP tidak bersetuju Tan dipilih mewakili parti itu.
Kerusi Balakong kosong selepas Adunnya, Ng Tien Chee maut dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, pada 20 Julai lalu.
Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Ng mengalahkan calon MCA, Lim Chin Wah dan calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi.
Selain Balakong, PRK Seri Setia turut diadakan serentak, selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia akibat kanser kolon pada 2 Ogos lalu.
Hari penamaan calon PRK Balakong dan Seri Setia ditetapkan pada 18 Ogos ini dan hari mengundi pada 8 September nanti.
Sementara itu, Wong berjanji meneruskan legasi Ng untuk menambah baik keadaan di Balakong.
“Saya akan pergi ke setiap rumah dan melawat pengundi untuk lebih memahami keperluan mereka.
“Lagipun kita ada masa lebih 20 hari untuk berkempen,” katanya yang berjanji melakukan terbaik dan tidak menghampakan pengundi Balakong.